201 balak haram, traktor disita di Ulu Sg Balingian

0
RAMPAS: Gambar menunjukkan sebahagian daripada 201 balak haram (kiri) dan traktor yang disita SFC, Selasa lepas di Ulu Sungai Balingian.

RAMPAS: Gambar menunjukkan sebahagian daripada 201 balak haram (kiri) dan traktor yang disita SFC, Selasa lepas di Ulu Sungai Balingian.

BINTULU: Sebanyak 201 batang balak haram dan sebuah traktor disita oleh pegawai penguat kuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Ulu Sungai Balingian di Tatau dekat sini, Selasa lepas.

“Dalang pembalakan haram mesti menyangka pegawai penguatkuasaan tidak akan bertugas pada waktu cuti Gawai yang panjang.

“Tetapi harapan mereka musnah apabila pegawai penguatkuasaan SFC dari Pusat Pematuhan Sehenti (OSCC) Telok Batu, Bintulu menjumpai kegiatan pembalakan haram di atas tanah kerajaan yang tidak dikeluarkan dengan lesen pembalakan.

“Pegawai kami menemui 201 balak pelbagai saiz dan spesies ketika meronda di Ulu Sungai Balingian, Tatau.

“Pemeriksaan selanjutnya ke atas balak tersebut tidak menemui sebarang tanda rasmi pada kesemua sekali gus mengesahkan balak tersebut ditebang secara haram,” menurut satu kenyataan SFC semalam.

Kenyataan itu menambah, traktor yang disita dipercayai digunakan dalam operasi haram di lokasi jenayah.

Walaupun laporan sudah dibuat di Balai Polis Bintulu, SFC berkata kes itu diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak bagi siasatan lanjut.

“OSCC merupakan inisiatif penting kerajaan dalam menjalankan penguatkuasaan di kawasan hutan dan dekat dengan operasi pembalakan bagi meningkatkan pematuhan kepada peraturan penuaian balak.

“Kes ini adalah kes kelima dilaporkan oleh OSCC sejak operasi bermula pada 1 April tahun ini,” jelas kenyatan tersebut.