Leeds lakar kejutan ke atas United

0

Gol Beckford pastikan skuad Grayson cipta sejarah terbesar Piala FA

LONDON, England: Kelab Leeds United, yang bermain dalam divisyen ketiga hierarki bola sepak Inggeris, mengejutkan juara 11 kali, Manchester United pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris dengan kemenangan 1-0 di Old Trafford, Ahad lepas.Leeds, pendahulu Liga Satu, 43 anak tangga di bawah United, mencipta kemenangan bersejarah menerusi gol Jermaine Beckford pada minit ke-19 dan akan berhadapan dengan Tottenham Hotspur pada pusingan keempat kejohanan.

Arsenal, yang menjulang trofi yang sama sebanyak 10 kali, juga kurang 12 minit sebelum penyingkiran ketika menentang West Ham United setelah Alessandro Diamanti meletakkan West Ham di hadapan pada minit akhir sebelum rehat.

Tetapi dua gol dalam masa lima minit dariPADA pemain tengah muda, Aaron Ramsey dan penyerang Eduardo mengejutkan penyokong tuan rumah di Upton Park ketika Arsenal pulang dengan kemenangan 2-1, sebelum diundi menentang sebuah lagi kelab Liga Perdana, Stoke City pada pusingan keempat kejohanan.

Juara bertahan kejohanan, Chelsea, yang mendahului kedudukan Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan dua mata berbanding Manchester United, tidak menghadapi sebarang masalah apabila membelasah kelab Liga Championship, Watford 5-0 di Stamford Bridge dan akan menentang sebuah lagi kelab dari Liga Championship, Preston North End.

Kekalahan itu adalah yang pertama buat pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson di pusingan ketiga sejak beliau tiba di Old Trafford 24 tahun yang lalu dan merupakan penyingkiran pertama United di awal saingan sejak tewas kepada Bournemouth pada 1984.

“Persiapan untuk perlawanan adalah sangat bagus tetapi saya terkejut dengan prestasi pasukan,” kata Ferguson.

“Kami tidak bermula dengan betul dan Leeds sebaliknya bermula dengan sangat baik. Mereka bersaing seperti seekor harimau dan kami memang menjangkakannya daripada mana-mana pasukan yang datang ke Old Trafford untuk Piala FA. Ia satu kekecewaan.”

Kekalahan ini bukanlah apa yang United mahukan menjelang perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Liga Inggeris menentang kelab jiran, Manchester City esok (Rabu) dan Ferguson berkata: “Kami harus melupakan keputusan ini secepat mungkin.”

Pengurus Leeds, Simon Grayson memuji pasukan ‘hebat’ beliau selepas mempamerkan salah satu kejutan paling besar dalam sejarah Piala FA.

“Pujian penuh kepada pemain yang cukup hebat hari ini (Ahad) tetapi ia adalah apa yang kami telah lakukan sepanjang musim ini,” kata beliau.

Chelsea mendahului 3-0 seawal minit ke-22 menerusi gol Daniel Sturridge , gol sendiri John Eustace dan rembatan Florent Malouda.

Pemain tengah, Frank Lampard Menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-64 sebelum empat minit kemudian, Sturridge menjaringkan gol kedua peribadi dan gol kelima pasukannya.

Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti berasa gembira dengan prestasi Sturridge.

Gol-gol penyerang berusia 20 tahun itu adalah yang pertama bersama Chelsea sejak perpindahan pada musim panas lepas dari Manchester City dan ia sangat bersesuaian ketika Chelsea ketika ini tanpa penyerang sensasinya, Didier Drogba kerana penglibatan kapten antarabangsa Ivory Coast itu dalam Piala Negara- Negara Afrika bulan ini.

“Ia satu prestasi yang baik dan Sturridge bermain dengan sangat baik,” kata Ancelotti. “Tanpa Drogba, ia penting untuk melihat beliau dalam keadaan yang baik.”

Sementara itu, pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata: “Kami mengharungi separuh masa pertama yang sukar menentang pasukan West Ham yang bekerja keras.

“Pada babak kedua, kami bermain dengan rentak yang cukup tinggi dengan West Ham mulai keletihan dan kami bangkit dalam 20 minit terakhir.”

Pengurus West Ham, Gianfranco Zola menambah: “Kami begitu hampir, saya gembira dengan permainan pasukan , tiada apa lagi yang boleh saya minta daripada mereka.”

Perlawanan lain menyaksikan dua kelab Liga Championship, Sheffi eld United dan Queens Park Rangers ( QPR ) terikat 1-1. Jay Simpson meletakkan QPR di hadapan tetapi gol pendahuluan itu hanya bertahan enam minit apabila Richard Cresswell menjaringkan gol untuk Sheffi eld.

Wolverhampton pula menang tipis 1-0 di kelab divisyen tiga , Tranmere me-nerusi gol pemain tengah , Matt Jarvis dan bakal menanti kelab Liga Champi onship, Crystal Palace pada pusingan keempat kelak. — AFP