Persatuan mempersoalkan dasar mengehad usia penggunaan bas sekolah

0

BINTULU: Persatuan Tuan Punya Bas Sekolah Bintulu mempersoalkan mengenai dasar kerajaan yang tidak membenarkan kenderaan, khususnya bas sekolah yang berusia lebih 30 tahun terus boleh digunakan di atas jalan raya di negara ini.Pengerusinya Doris Dara berkata, untuk mengganti dan membeli bas baru, saya rasa kebanyakkan pengusaha bas sekolah tidak akan mampu berbuat demikian berikutan kita membelanjakan wang untuk kos-kos penyelenggaraan yang tinggi terhadap kenderaan bas kita yang sedia ada.

Jelasnya, dengan dasar tersebut sudah tentunya pengusaha bas sekolah menerima kesan memandangkan mereka memandu dan terlibat dalam perniagaan itu lebih dari dua dekad dan ada di antara bas yang mereka miliki juga telah berusia lebih.

“Kita melihat polisi itu membebankan dan berharap kerajaan perlu lebih sensitif mengenai permasalahan yang dihadapi oleh pengusaha bas sekolah di seluruh Negara.

“Inilah sahaja kerja yang kita ada dan kita bukannya muda untuk mencari pekerjaan lain, malahan anak-anak kita pula enggan untuk mewarisi dan meneruskan perniagaan ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji sedalam-dalamnya dan memahami akan kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha yang terlibat sebelum melaksanakan polisi baru itu.

“Sekiranya kerajaan keluar dengan polisi ini, tidak mustahil pengusaha bas sekolah akan beroperasi sebagai pengusaha van haram dan sudah tentunya masalah serta risiko bertambah besar bakal dihadapi oleh kerajaan untuk menanganinya,” katanya diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan yang mengehadkan operasi bas sekolah yang berusia sehingga 30 tahun sahaja.

Menurutnya, agak mustahil untuk pengusaha bas sekolah yang mana kebanyakkan mereka telah memandu lebih dari dua dekad mampu mencapai khidmatnya sehingga usia 30 tahun dan kemudian membeli bas baru.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tetap mematuhi segala prosedur dengan setiap enam bulan sekali pemilik bas sekolah menghantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan tetap bagi memastikan kenderaan kita terus dapat digunakan.

“Ia adalah prosedur wajib, malahan pemeriksaan juga tidak boleh dilewatkan,” katanya sambil menambah setakat ini pihaknya tidak pernah menentang segala peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dengan Bintulu yang mempunyai sekitar 146 bas sekolah berdaftar di bawah persatuan katanya, “sebagai pengerusi saya menggesa semua ahli untuk bertenang dan tidak perlu terlalu bimbang memandangkan kerajaan akan melihat secara lebih mendalam akan segala cabarannya sebelum melaksanakan polisi tersebut”.

Beliau berkata, bagi persatuan di sini, kita akan terus memperjuangkan kepentingan ahli-ahli yang ada bagi meneruskan operasi bas berusia 30 tahun, namun pihaknya masih menunggu rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia mengenai tindakan seterusnya demi kebaikan semua orang.

Doris turut menasihati ahli-ahli persatuan  di sini dan pengusaha bas sekolah amnya untuk menjaga keselamatan pelajar yang menumpang bas mereka dan terus menyediakan khidmat terbaik.

“Sebagai pengusaha bas sekolah di sini, saya fikir kita telah menjalankan kerja dengan baik dan menyediakan khidmat yang baik kepada pelanggan dan mendapati ibu bapa di sini turut berpuas-hati dengan khidmat yang kita tawarkan,” katanya.