Wabak Chikungunya masih membimbangkan

0

Terdapat kes pesakit dijangkiti semasa berada di bandar

SIBU: Kes jangkitan wabak penyakit Chikungunya masih berada di tahap membimbangkan di sesetengah tempat di kawasan pinggir bandar.Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor James Laju Ambok berkata, penularan wabak Chikungunya di kawasan pinggir bandar, bagaimanapun tidak bermakna ia berpunca daripada sikap degil para penduduknya.

Kaunselor James berkata, terdapat juga kes pesakit yang dijangkiti wabak Chikungunya semasa berada di bandar sebelum kembali semula ke kawasan pinggir bandar.

“Dalam konteks ini, jelas menunjukkan punca wabak tersebut pada ketika ini tidak hanya wujud di kawasan pinggir bandar sahaja. Wabak penyakit Chikungunya juga terdapat di bandar serta di mana-mana,” ujar beliau ketika ditemui di pejabatnya semalam sambil menambah pencegahan wabak tersebut adalah tanggungjawab bersama.

Katanya, masyarakat perlu mengambil inisiatif sendiri dengan menjalankan kempen kebersihan dengan memastikan kawasan rumah dan persekitaran bebas daripada takungan-takungan air yang boleh membiak Aedes.

Badan-badan bukan kerajaan (NGO), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan ketua masyarakat juga perlu melibatkan diri dengan mengadakan pelbagai program termasuk aktiviti gotong-royong membersihkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Masyarakat juga harus memainkan peranan dalam mencengah penularan wabak penyakit Chikungunya dengan meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar dalam dan luar rumah mereka,” katanya lagi.

Tambah Kaunselor James lagi, pihak majlis juga akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk NGO seperti menyediakan kelengkapan bagi kerja-kerja pembersihan.

Ketika mengulas mengenai penyemburan asap atau fogging, Kaunselor James memberitahu pihak majlis melakukan tugas-tugas tersebut selepas menerima arahan daripada pegawai Jabatan Kesihatan Bahagian (JKHB) Sibu.

Jelas beliau, pegawai dari JKHB Sibu akan membuat pemantauan dari masa ke semasa dan setiap kes jangkitan wabak penyakit Chikungunya akan dimaklumkan kepada pihak majlis.

“Hanya selepas menerima arahan daripada pegawai JKHB, barulah kita dapat melakukan penyemburan asap di kawasan yang terdapat kes pesakit yang dijangkiti wabak penyakit Chikungunya.