1,933kg gula cuba diseludup keluar dirampas

0

TEBEDU: Sebanyak 1,933 kilogram (kg) gula bernilai RM3,667.60 dirampas dalam cubaan menyeludupnya ke negara jiran, tahun lepas.Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rampasan itu sepanjang 2009 selepas mengambil alih Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pada 1 Januari 2009.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata pihaknya menyedari dan sedia maklum mengenai kewujudan aktiviti penyeludupan gula yang berlaku di kawasan tersebut.

“PGA sedia maklum dan menyedari kewujudan aktiviti penyeludupan gula yang berlaku di kawasan sempadan Tebedu dan hasilnya beberapa tangkapan telah berjaya dilakukan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pengawasan sentiasa dilakukan berikutan kewujudan aktiviti penyeludupan yang tidak dinafikan memang berlaku.

Menurutnya, pemeriksaan dan rondaan sentiasa dibuat dari semasa ke semasa terhadap semua kenderaan yang melalui sempadan Tebedu termasuk bas ekspres bagi memantau sebarang aktiviti penyeludupan.

“Jika terdapat keperluan, kita akan mengadakan operasi khas bagi mengawal aktiviti menyeludup senjata, dadah, pendatang tanpa izin dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, katanya pihak polis telah mengenal pasti sebanyak 61 jalan-jalan  tikus di sepanjang sempadan Sarawak.

Ketika ditanya adakah kawasan-kawasan sempadan tersebut akan dipagar, beliau berkata: “Kita tidak mempunyai masalah untuk membina pagar di kawasan tersebut kerana dalam Rancangan Malaysia Ke-9, kita mempunyai peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membina pagar di kawasan itu.”

Namun, tambahnya, masalah yang dihadapi sekarang adalah tanah-tanah di kawasan itu bukan hak milik kerajaan.

Masalah pemilikan tanah harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum membina pagar di jalan-jalan tikus tersebut kerana kebanyakan tanah itu adalah milik orang awam, katanya.

“Justeru, peruntukan membina pagar sebanyak RM3 juta itu akan digunakan untuk tujuan lain jika tidak digunakan dan memohonnya semula dalam Rancangan Malaysia Ke-10,” katanya.