Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Kebanyakan peniaga keberatan naikkan harga kerana takut pelanggan lari walaupun kenaikan harga ayam menjejaskan mereka
Kebanyakan peniaga keberatan naikkan harga kerana takut pelanggan lari walaupun kenaikan harga ayam menjejaskan mereka
by Jessica Jawing. Posted on January 7, 2010, Thursday
Keberatan naikkan harga demi pelanggan walaupun terjejas dengan kenaikan harga ayam
KUCHING: Kenaikan harga ayam sebanyak 20 sen sekilogram yang dilaksanakan baru-baru ini bukan sahaja memberi impak kepada pengguna tetapi turut memberi kesan kepada para peniaga dan pemilik restoran.
Tinjauan Utusan Borneo di sekitar Kuching mendapati para peniaga melahirkan pandapat dan reaksi yang berbeza mengenai perkara berkenaan, malah ada antaranya beranggapan kenaikan harga itu memberi masalah kepada mereka terutamanya bagi yang menyajikan menu ayam.
Walaupun turut terkena tempias namun ada antara mereka tidak akan menaikkan harga makanan mereka meskipun harga ayam naik 20 sen sekilogram kerana mereka memberi pertimbangan kepada pelanggan terutamanya pelanggan tetap.
Isah Brahin, 51, seorang pemilik kedai makanan dan minuman berkata dia tidak akan menaikkan harga makanan yang menyajikan ayam.
“Kenaikan harga ayam terbabit memberi sedikit masalah kepada kita sebab kalau kita naikkan harga makanan nanti pelanggan akan bising, kurang mengunjungi kedai dan sebagainya.
“Justeru saya akan mengekalkan harga makanan kerana ia memberi kepayahan kepada pelanggan saya terutamanya mereka yang sudah biasa berkunjung ke kedai saya,” katanya yang sudah berniaga selama tiga tahun.
Isah memberitahu, dia tidak begitu setuju dengan kenaikan harga berkenaan kerana ia perlu mengambil kira kepentingan dan bertimbang rasa kepada pelanggan.
Bagi dirinya untuk mengelakkan pelanggan lari gara-gara menaikkan harga menu makanan ada baiknya dia mengekalkan harga biasa walaupun ia memberi kepayahan kepadanya.
Sependapat dengan Isah, seorang lagi peniaga gerai makanan Suffian Sulaiman, 39, juga tidak akan menaikkan harga makanan yang menyajikan menu ayam.
“Bagi saya menaikkan harga makanan agak payah kerana saya mempunyai ramai pelanggan tetap sejak saya berniaga lebih kurang 10 tahun dan ini akan memberi kesan kepada pelanggan-pelanggan saya,” katanya.
Bagi pemilik gerai Pian Fast Food itu, dia juga tidak bersetuju dengan kenaikan harga ayam yang turut memberi tempias kepada peniaga makanan.
Katanya, gerai makanan yang beroperasi sejak 10 tahun itu kini mula dikenali ramai pelanggan, sekiranya dia menaikkan harga kemungkinan pelanggan tidak akan berkunjung lagi ke gerainya itu.
Berlainan pula dengan seorang pemilik gerai makanan yang dinamakan Economy Fast Food, Rosniah Mohd Amin,32, yang merancang untuk menaikkan harga makanan menu ayamnya selepas ini.
Rosniah berkata sejak belasan tahun berniaga ini merupakan kali pertama baginya menaikkan harga makanan terutamanya menyajikan ayam kerana sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian walaupun harga ayam naik.
“Kita akan naikkan harga ayam sebanyak 20 sen sama ada ketul atau sebaliknya,” katanya yang turut mempunyai agak ramai pelanggan tetap.
Selasa lalu akhbar menyiarkan pengguna akan membayar lebih 20 sen bagi sekilogram ayam yang masih hidup dan sudah diproses berkuat kuasa pada 5 Januari.
Pengerusi Persatuan Penternak Bahagian Kuching dan Semarahan Lim Jin Chiaw berkata harga runcit bagi ayam biasa dinaikkan kepada RM7.70 daripada RM7.50 sekilogram dan ayam hidup dinaikkan kepada RM5.80.
<< Previous Entry - Next Entry >>



