Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - DAP buka pintu, Ching Yong tangguh keputusan untuk keluar SUPP
DAP buka pintu, Ching Yong tangguh keputusan untuk keluar SUPP
by Sandy Mark Luna. Posted on January 8, 2010, Friday
KUCHING: Ketika Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Patinggi Dr George Chan membuat kenyataan yang menghormati keputusan ahli veterannya Wong Ching Yong untuk keluar dari parti, Wong pula pada hari yang sama semalam menarik balik sementara keputusannya itu.Ketika dihubungi di luar negara semalam, Dr Chan memberi jawapan ringkas: “Kita menghormati dan menerima keputusannya (Ching Yong). Jika dia sudah membuat keputusan, apa lagi yang boleh kita lakukan?”
Pada masa yang sama juga Setiausaha DAP negeri, Chong Chieng Jen membuat kenyataan yang DAP membuka pintunya kepada Ching Yong untuk menyertai parti pembangkang itu.
Ching Yong mengumumkan yang beliau semalam menarik balik sementara keputusannya untuk keluar SUPP.
Sebelum ini pada 1 Januari lepas, Ching Yong membuat pengumuman untuk keluar dari parti berkenaan.
Ching Yong ketika ditemui pemberita di sini, semalam memberitahu beliau akan menimbang semula keputusannya ekoran rayuan bersama daripada 28 cawangan SUPP yang memintanya untuk kekal bersama parti dan melihat jawatankuasa parti melaksanakan reformasi.
Menurut Ching Yong, beliau telah berjumpa dengan wakil-wakil dari 28 cawangan tersebut dan mereka meminta secara ikhlas agar beliau mengekalkan diri dalam SUPP.
“Saya rasa amat bertuah dan berasa gembira kerana menerima komen-komen yang positif dan memberangsangkan daripada para pemimpin tersebut.
“Justeru, saya akan menimbang semula keputusan tersebut. Saya akan memaklumkan keputusan terakhir saya selepas Tahun Baru Cina,” katanya.
Menurutnya, keputusan muktamadnya untuk kekal dalam parti atau tidak akan diumumkan selepas Tahun Baru Cina yang jatuh pada 14 Februari depan.
Beliau yang menyertai SUPP setelah tamat pengajian di Australia dan United Kingdom, berharap beliau dapat menyumbang kepada usaha menjadikan SUPP sebuah parti rakyat.
“Sejak 24 tahun yang lalu, saya menyaksikan dan dapat memberi jaminan SUPP telah memainkan peranan yang baik dalam membawa kemakmuran dan kestabilan politik kepada rakyat Sarawak.
“Selepas tahun 90an, para pemimpin pusat SUPP dan polisi-polisi mereka tidak lagi berorientasikan rakyat seperti pada 70an dan 80an,” kata Ching Yong.
Katanya, daripada pandangan rakyat Sarawak, parti tersebut kini di bawah pengaruh dan dikuasai oleh ‘sindiket-sindiket’ yang mempunyai kuasa dari segi ekonomi.
“Perkara ini amat membimbangkan saya, namun saya tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Tidak ada apa-apa yang saya dapat lakukan. Kepimpinan parti di peringkat pusat menjadi semakin bongkak dengan rakyat dan ahli-ahli peringkat akar umbi,” katanya.
Suara-suara akar umbi juga tidak disampaikan dan didengari oleh para pemimpin parti di peringkat pusat, tambah Ching Yong.
Bukan setakat itu, beliau turut menjelaskan pengaruh ‘sindiket-sindiket’ yang ber-kuasa dalam SUPP menjadi semakin ketara sejak sedekad lalu.
“Politik wang timbul dan menjadi barah dalam SUPP. Wang politik berleluasa dalam perebutan kuasa dalam parti pada 2006 dan pertikaian timbul mengenai penubuhan cawangan Dudong yang berlarutan,” katanya Wong.
Faktor tersebut, katanya menyebabkan beliau membuat keputusan untuk meninggalkan SUPP selepas menjadi ahlinya selama 24 tahun setakat tarikh 27 Disember 2009.
“Ia adalah keputusan yang sukar dan menyakitkan,” katanya.
Wong turut mengucapkan terima kasih kepada Penolong Setiausaha Publisiti dan Maklumat SUPP, Datuk Dr Soon Choon Teck kerana membawanya ke dalam parti itu.
“Beliau mahu membimbing saya sebagai penggantinya, namun ia telah ditentang sekeras-kerasnya oleh cawangan Sibu yang diketuai Dato’ Sri Wong Soon Koh (timbalan setiausaha agung SUPP).
“Bagaimanapun, saya tidak kisah mengenai hal tersebut. Selama ini, kedudukan dalam parti tidak penting bagi saya.
“Disebabkan mentaliti ini saya berjuang dengan berani bersama SUPP cawangan Sibu,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau juga tidak teragak-agak untuk bersetuju apabila Soon Koh meminta beliau tidak dimasukkan ke dalam senarai cawangan Dudong pada awal 2009.
“Saya tidak mahu menjadi penghalang. Saya memilih untuk meninggalkan parti sekarang kerana lebih yakin sekarang bahawa cawangan Dudong akan ditubuhkan tidak lama lagi ekoran sokongan yang padu daripada 28 cawangan SUPP yang diketuai oleh Datuk David Teng (bendahari SUPP).
Ching Yong dilaporkan pada 3 Januari lepas telah hilang keyakinan terhadap kepim-pinan pusat parti itu atas ketidakseimbangan dan keinginan untuk melakukan reformasi dalam SUPP.
<< Previous Entry - Next Entry >>



