Malaysia tidak akan hadapi keadaan surplus doktor menjelang 2015

0

PETALING JAYA: Keadaan jumlah doktor yang berlebihan dalam sektor awam negara tidak akan wujud menjelang tahun 2015 kerana daripada 25,000 doktor yang diperlukan, negara masih mengalami kekurangan antara 14,000 dan 15,000 tenaga kerja kumpulan profesional itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.Beliau berkata semasa kira-kira 3,000 graduan perubatan baru menjejakkan kaki ke dalam pasaran kerja setiap tahun, pada masa yang sama 300 hingga 400 doktor pula meninggalkan sektor awam.

Katanya pada September lepas hanya 63.7 peratus daripada 24,241 jawatan doktor dalam Kementerian Kesihatan dipenuhi, dan manakala bagi jawatan doktor pakar hanya 58.5 peratus daripada 3,800 jawatan itu diisi.

“Kami memandang berat keadaan ini, pelbagai usaha dijalankan, termasuk dengan kerjasama erat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mempercepat pengisian jawatan doktor dalam sektor awam,” katanya kepada pemberita di Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) di sini semalam.

Menurutnya pihak Kementerian akan terus mencari inisiatif untuk membaiki keadaan ini, contohnya dengan menawarkan insentif yang lebih baik seperti peluang-peliang kenaikan pangkat kepada doktor untuk mengekalkan mereka dalam perkhidmatan.

Liow berkata dengan mengambil kira bahawa Malaysia masih sebuah negara yang sedang membangun, kebimbangan sesetengah pihak termasuk badan-badan profesional kemungkinan wujud keadaan surplus doktor pada tahun 2015 adalah tidak berasas.

“Memandangkan Malaysia semakin berkembang maju dan pesat membangun, nisbah ideal antara doktor dan penduduk akan bergerak kepada nisbah yang lebih kecil semasa permintaan terhadap kemudahan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan berkualiti dijangka meningkat. Kepadatan doktor juga perlu ditingkatkan untuk memenuhi permintaan terhadap perhidmatan rawatan kesihatan yang lebih khusus,” tambahnya.

Beliau berkata Malaysia juga dijangka mencapai nisbah satu doktor untuk 600 penduduk menjelang tahun 2015 berbanding nisbah semasa 1:1,105 iaitu, satu perkembangan yang cukup positif jika dilihat kepada nisbah 1:8,229 pada tahun 1957 semasa negara baru mencapai kemerdekaan dahulu.

Terdahulu Liow menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Kesihatan dan Utar, yang akan membolehkan hospital-hospital kerajaan dijadikan sebagai hospital latihan buat mahasiswa perubatan Utar.

MoU akan membolehkan mahasiswa perubatan itu menjalani latihan amali, latihan industri dan kajian klinikal di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang di Selangor, Hospital Sultan Ismail di Johor Baharu dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. — Bernama