Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Sarawak tumpu projek infrastruktur: Taib

Sarawak tumpu projek infrastruktur: Taib

by Sandy Mark Luna. Posted on January 16, 2010, Saturday

Perhubungan luar bandar diutama selepas ambil kira perkembangan ekonomi, kemudahan rakyat

KUCHING: Sarawak masih menitikberatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur terutama daripada aspek perhubungan dan pengangkutan di luar bandar apabila Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dilaksanakan.Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata tumpuan itu adalah selepas mengambil kira aspek perkembangan ekonomi dan kemudahan untuk rakyat.

“Kita mahu memberi tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur di luar bandar agar penduduk di kawasan berkenaan mampu menikmati kemudahan sebaik mungkin, sekali gus akan menurunkan kos pengangkutan,” katanya dalam sidang media selepas Dialog Kerajaan Negeri Bersama Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Selain Taib, dialog bagi mengumpul maklumat berkaitan RMK-10 itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan serta Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Taib yang juga Menteri Kewangan Sarawak berkata selain mengambil kira kemajuan aspek perhubungan untuk rakyat, infrastruktur pengangkutan perlu lebih cekap terutama ketika kerajaan negeri merancang membangunkan ekonomi.

Kecekapan sistem perhubungan dan pengangkutan menurut beliau amat mustahak dalam pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

SCORE katanya, merupakan satu usaha untuk melonjakkan prestasi ekonomi yang seterusnya bakal membawa status negeri ini setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Menerusi pelaksanaan SCORE, model ekonomi Sarawak akan bertukar menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang memerlukan tenaga kerja berpengetahuan untuk menggerakkannya.

“Kita perlu beralih daripada model ekonomi sekarang kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang merangkumi kepelbagaian sumber.

“Ini sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan daripada sumbersumber yang dimiliki Sarawak,” katanya.

Mengenai peruntukan yang diperlukan Sarawak untuk melaksanakan projek-projek RMK-10, Nor Mohamed memberitahu ia akan diketahui ketika pembentangan RMK-10 di Parlimen pada 10 Jun akan datang.

Nor Mohamed berkata pada masa sekarang EPU sedang mengadakan siri perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan pihak industri.

Perbincangan sedemikian katanya, digunakan untuk memperoleh maklumat bagi merangka peruntukan dan projek yang perlu dilaksanakan menerusi RMK-10.

“Ini (dialog) akan memberi kita peluang untuk mengambil tindakan dalam menyelesaikan isu dan halangan yang dihadapi dalam RMK-10,” katanya.

Sementara itu Taib berkata dialog seumpama itu amat dihargai kerajaan negeri apabila Sarawak masih memerlukan banyak projek-projek pembinaan kemudahan.

Perbincangan tersebut juga katanya, dapat memastikan peruntukan yang diberi kerajaan persekutuan dibelanjakan secara berhemah.

“Kita tidak mahu peruntukan (kewangan) daripada kerajaan persekutuan tidak dijaga dengan cukup baik kerana kita berpegang kepada prinsip duit rakyat perlu dijaga sebaik mungkin,” katanya.


Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.