Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Bakal juruterbang dalam dilema
Bakal juruterbang dalam dilema
Posted on January 18, 2010, Monday
Pinjaman biasiswa 24 pelajar GGIFA yang diluluskan, kemudian ditolak jejas cita-cita
BINTULU: Seramai 24 pelajar Kolej Akademi Penerbangan Antarabangsa Gulf Golden (GGIFA) Bintulu ibarat digantung tidak bertali apabila cita-cita mereka untuk menjadi juruterbang kini samar selepas pinjaman biasiswa mereka yang sebelum ini diluluskan, kemudiannya ditolak oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).Ketua Pegawai Eksekutif GGIFA Sairi Naim pada sidang media di kolej terbabit semalam berkata, menerusi surat bertarikh 21 Februari 2008, MARA telah melulus-kan permohonan kolej untuk pinjaman biasiswa bagi pe- lajar-pelajar terbabit bagi mendapatkan lesen Juruterbang Komersial menerusi Kursus ‘Instrument Rating’ (CPL/IR) dengan Lesen ‘Frozen Airline Transport Pilot’ (ATPL).
Katanya, pinjaman itu berjumlah RM199,271 untuk setiap pelajar bagi tempoh se-tahun enam bulan, bagaima-napun tiada surat susulan dihantar kepada pihak kolej untuk menyatakan bahawa kemudahan pinjaman itu te-lah dibekukan.
“Kira-kira 24 juruterbang kadet kami telah memohon pinjaman biasiswa daripada pihak MARA dan 16 daripada mereka telah menjalani kursus Private Pilot’s Licence (PPL) dan ada yang telah menjalani peringkat penerbangan. Manakala lapan lagi pelajar masih belum memulakan kursus bergantung kepada kelulusan pinjaman biasiswa daripada MARA.
“Kami menganggap bahawa 16 pelajar terbabit akhirnya akan diberikan pinjaman, namun baru-baru ini MARA menghantar surat kepada kami untuk menyatakan bahawa 16 pelajar terbabit bukan pelajar tajaan MARA. Ini hanya reaksi balas kepada surat rayuan pelajar terbabit kepada Pejabat Perdana Menteri,” katanya.
Menurut beliau, surat MARA itu bertarikh 4 November 2009, sebagai balasan kepada surat daripada pihak kolej bertarikh 27 Oktober 2009.
Sairi berkata, penolakan secara tiba-tiba sedemikian tidak boleh diterima dan tidak wajar untuk menghalang pelajar-pelajar terbabit daripada meneruskan cita-cita mereka.
Beliau menambah bahawa, pihak kolej turut merayu kepada Pejabat Perdana Menteri dan mereka juga telah memberi jawapan kepada surat terbabit berserta surat sokongan daripada Pejabat Kementerian Pembangunan Luar bandar dan Wilayah bertarikh 9 Disember 2009.
Namun demikian, adalah tidak masuk akal bagi pihak MARA menolak permohonan terbabit, walhal mereka telah pun meluluskannya, kata Sairi sambil menunjukkan surat kelulusan bertarikh 21 Februari 2008.
“Kami telah menjaga pelajar-pelajar ini sejak beberapa bulan lepas dan enam dari-pada mereka telah membuat keputusan untuk berhenti secara sukarela kerana tidak mampu membayar yuran tuisyen.
“Kos yang terpaksa kami tanggung bagi 16 pelajar ter-babit ialah RM1.04 juta, iaitu kira-kira RM65,000 bagi setiap pelajar,” katanya.
Sairi menambah, pihak kolej telah meminta pelajar berkenaan mencari pembiayaan alternatif sekiranya mereka masih ingin meneruskan pengajian di kolej itu.
“Kami tidak mampu menanggung keseluruhan kos pengajian mereka kerana buat masa ini kami mempunyai enam pelajar di bawah tanggungan kami dengan biasiswa berjumlah RM2 juta dan apabila mereka tamat pengajian kelak, mereka akan bekerja dengan kami selama beberapa tahun,” jelas Sairi.
Beliau turut memberitahu bahawa SME Bank telah memberikan sokongan besar dengan menyediakan fasiliti untuk membeli pesawat-pesawat latihan, namun akibat perkembangan dengan pihak MARA, bank terbabit enggan melanjutkan sebarang pinjaman sehinggalah isu penajaan ke atas 16 pelajar itu diselesaikan.
“Kami mempunyai 150 pelajar sejak Jun 2007 dan daripada jumlah itu, 54 adalah pelajar MARA. Kira-kira 20 pelajar telah lulus dengan PPL atau CPL/ATPL dan empat daripada mereka adalah tajaan MARA, malah salah seorang muncul pelajar terbaik keseluruhan dan menerima Anu-gerah Kenyalang,” kata Sairi, sambil menambah bahawa 50 peratus pelajar adalah dari Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Muhd Izam Naroodin, 20, dari Kuching yang bercakap bagi pihak rakan-rakannya berkata, mereka langsung tidak menjangka masalah kewangan tersebut akan timbul selepas setahun belajar di kolej berkenaan memandangkan permohonan pinjaman biasiswa mereka kepada MARA di- luluskan, namun kemudian ditolak.
Katanya, mereka telah me-nulis surat rayuan kepada pengarah MARA pada 21 Julai 2009 bagi merayu pinjaman terbabit yang kemudiannya disertakan bersama surat sokongan daripada Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
“Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas daripada MARA berhubung rayuan kami yang telah menyukarkan pengajian kami,” kata Izam.
“Kami bimbang kerana tidak tahu sama ada dapat menamatkan pengajian, namun yang jelas tanpa pinjaman MARA, kami tidak akan dapat melakukannya biarpun sudah separuh jadual pengajian dilalui.
“Lagipun, tiada agensi lain yang menyediakan pinjaman pengajian kepada Bumiputera dalam bidang penerbangan, maka kami berharap MARA akan memahami situasi kami sekarang yang mungkin akan menjejaskan masa depan kami,” kata Izam yang menjelaskan bahawa isu tersebut telah mengganggu tumpuan mereka dalam pengajian.
Beliau menambah, 16 pelajar terbabit juga ingin tahu alasan permohonan mereka ditolak oleh MARA, meskipun mereka memenuhi kesemua syarat dan kelayakan yang diluluskan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA).
Menurut Izam, pihak kolej amat memahami situasi berkenaan dengan memberi mereka peluang meneruskan pengajian tanpa membayar yuran, namun ia tidak dapat berterusan kerana pihak kolej turut mempunyai komitmen lain.
“Ibu bapa kami telah dimaklumkan tentang masalah ini dan mereka telah cuba membincangkannya dengan pihak MARA, tetapi masih tiada maklum balas positif diberikan,” kata Izam.
Seorang lagi pelajar, Wan Firdaus Nur Wan Silmy, 24, berkata mereka terkejut apabila mengetahui bahawa mereka tidak ditaja oleh MARA selepas separuh pengajian dijalani.
Katanya, masalah kewangan itu menyebabkan mereka tersekat di tengah-tengah pengajian dan dengan hanya PPL, mereka tidak layak untuk menjadi juruterbang komersil kerana lesen itu hanya untuk penerbangan rekreasi.
Beliau menambah, mereka masih perlu mendapatkan CPL untuk membolehkan mereka menjadi juruterbang komersil selepas tamat pengajian, namun tanpa pinjaman terbabit, cita-cita mereka akan berkubur.
Dalam pada itu, pelajar tunggal wanita, Aainaa Muzzafirah Mustapha, 24, berkata mereka amat memerlukan pembiayaan daripada MARA kerana itulah satu-satunya cara untuk mereka meneruskan pengajian.
Beliau menambah, memandangkan kos yang amat tinggi, keluarganya tidak mampu memberikan bantuan dengan membayar yuran yang ditetapkan.
Pengarah Penerbangan Kolej Mejar (B) Ahmad Radzi Hashim berkata, isu tersebut tidak harus timbul lebih-lebih lagi negara akan memerlukan lebih ramai juruterbang dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.
Katanya, dengan menjejaskan pengajian mereka, ia akan menyebabkan kerugian besar kepada negara dalam usaha melahirkan juruterbang berkelayakan untuk syarikat-syarikat penerbangan tempatan pada masa hadapan.
Justeru, beliau berharap pihak kementerian berkaitan, khasnya MARA akan membantu pelajar-pelajar terbabit untuk mendapatkan pinjaman biasiswa mereka secepat mungkin.
<< Previous Entry - Next Entry >>



