Penunggang motosikal maut

0

Mangsa yang dikenali sebagai Simpon Ak. Buah dikatakan melanggar belakang lori

SIBU: Seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditungangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori di sini, semalam.Mangsa dikenali sebagai Simpon Ak. Buah, berusia 34 tahun dan berasal dari Rh. Simpai Nanga Serau, Song.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri sedang menghala ke pusat bandar.

Punca sebenar kejadian bagaimanapun tidak diketahui.

Mangsa dikatakan gagal memberhentikan motosikalnya lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori yang sedang menghala ke arah yang sama.

Mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman, mati serta-merta di tempat kejadian.

Anggota paramedik yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam turut bergegas ke tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah mayat Hospital Sibu untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Dalam pada itu, kakak ipar mangsa ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, mangsa berada di sini sejak dua hari yang lalu.

“Mangsa telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Semasa berada di sini, beliau tinggal bersama saya dan suami di Pasai Siong,” ujarnya yang masih terkejut dengan kejadian itu.