Ambil inisiatif untuk tuntut MyKad

0

JPN nasihat orang awam supaya ambil dokumen mereka sebelum dilupus

MIRI: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bahagian Miri menasihatkan orang awam di Miri agar mengambil inisiatif untuk menuntut MyKad masing-masing sebelum ia dilupuskan.Ketua Pejabat JPN Miri, Zakaria Idris berkata, sehingga 31 Disember tahun lepas, sebanyak 1,879 MyKad di bandar raya ini belum dituntut.

“Kita mohon kerjasama orang ramai agar menuntut MyKad masing-masing dengan segera. Bagi yang telah berpindah ke tempat lain, mereka boleh menghubungi JPN untuk menghantar MyKad tersebut ke pejabat JPN yang berhampiran,” katanya.

Zakaria berkata demikian semasa sidang media selepas melancarkan Ops Serah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Miri di JPN di sini semalam.

Hadir sama Ketua Unit Khas Bergerak JPN Cawangan Miri, Mohd Syafiee Mohamad Arrifin dan Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/ Trafik Daerah Miri, Asisten Suprintendan (ASP) Zamry Alli.

Mengulas lanjut Ops Serah, Zakaria berkata sebanyak 154 daripada 1,879 MyKad akan diserahlan kepada penduduk Miri meliputi lima zon iaitu Permyjaya, Tudan, Pujut, Krokop dan Luak.

“Operasi selama dua hari mulai semalam ini diketuai oleh ASP Zamry membabitkan lapan pegawai polis dan lima unit kenderaan peronda serta dibantu lima pegawai JPN.

“Semua pemohon menetap di Miri, sehubungan itu JPN hairan mengapa mereka tidak menuntut MyKad masingmasing,” katanya.

Sementara itu, ASP Zamry berkata, polis akan memberi komitmen penuh untuk membantu JPN dan agensi kerajaan lain dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Ini merupakan kali pertama kami terlibat dalam Ops Serah. Kita berharap operasi ini akan diteruskan dalam memastikan MyKad tersebut sampai ke pemilik dengan selamat,” katanya.