Isu rahsia negara diselesai ikut saluran diplomatik

0

Pihak terbabit akan diberitahu supaya tidak ulangi perkara yang boleh menjejas hubungan dua negara

BAGAN DATOH: Isu kedutaan asing yang memperalatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan maklumat rahsia negara akan diselesaikan menerusi saluran diplomatik, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Katanya melalui saluran diplomatik berkenaan, pihak yang terbabit akan diberitahu supaya tidak lagi melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid mengesahkan penjelasan terperinci mengenai perkara itu telah pun disampaikannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau mendedahkan perkara itu, kelmarin.

“Demi menjaga hubungan diplomatik dengan negara berkenaan, Perdana Menteri meminta supaya tidak didedahkan kedutaan yang terbabit dalam kes ini.

“Perdana Menteri berharap supaya Kementerian Pertahanan memberitahu melalui kaedah diplomatik dalaman kepada pihak berkenaan agar perkara ini dapat dijelaskan dengan baik tanpa mendedahkan identiti negara terbabit,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Parlimen Bagan Datoh di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata beliau mengharapkan cubaan untuk mendapatkan maklumat rahsia negara tidak akan diulangi oleh negara berkenaan yang mempunyai hubungan pertahanan dengan negara ini.

“Kita berharap hubungan diplomatik dan diplomasi kententeraan dengan negara berkenaan terus terjalin dengan baik,” katanya. — Bernama