Pos M’sia kendali sejuta kad ucapan Tahun Baru Cina

0

KUALA LUMPUR: Sehingga 30 Januari lalu Pos Malaysia Bhd mengendalikan kira-kira sejuta kad ucapan Tahun Baru Cina bagi sambutan tahun ini, kata ketua operasi surat dan bungkusannya Hasnol Haniff.

SIBUK: Kakitangan Pos Malaysia Berhad sibuk memproses kad Tahun Baru Cina di Pusat Mel Pos Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

SIBUK: Kakitangan Pos Malaysia Berhad sibuk memproses kad Tahun Baru Cina di Pusat Mel Pos Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya walaupun jumlah kad-kad ucap selamat yang dihantar secara pos semakin berkurangan dengan ketara ekoran saingan hebat daripada perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) dan e-mel sejak tahun-tahun kebelakangan ini, masih ada yang memilih untuk menghantar kad itu menerusi pos ia mempunyai nilai-nilai peribadi yang tersendiri.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam beliau berkata tahun lepas pihaknya mengendalikan 6.8 juta kad-kad ucapan Tahun Baru Cina, yang merupakan penurunan 26 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi tahun ini Hasnol berkata, dalam usaha melancarkan proses penghantaran kad-kad ucapan itu, Pos Malaysia mengambil inisiatif membekukan cuti semua pekerjanya untuk memastikan tenaga kerja mencukupi bagi memastikan kad-kad ucapan itu sampai kepada penerima sebelum Tahun Baru Cina.

Beliau seterusnya menasihati orang ramai supaya menghantar kad-kad ucapan Tahun Baru Cina selewat-lewatnya 8 Februari ini untuk memastikan kad-kad itu dapat disampaikan tepat pada waktunya.

“Orang ramai boleh mengunjungi laman web Pos Malaysia Bhd di www.pos.com.my atau menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan PMB, PosLine di 1-300-300-300 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan kami,” katanya. — Bernama