Pacquiao bayangkan persaraan

0

Sensasi tinju Filipina tak perlu Mayweather untuk bukti keunggulan

MANILA, Filipina: Jaguh tinju Filipina, Manny Pacquiao membayangkan persaraan Isnin lepas dengan berkata beliau tidak perlu bertemu dengan Floyd Mayweather untuk mengukuhkan warisannya dalam sukan tinju.

KELUARGA BAHAGIA: Juara tinju dunia, Manny Pacquiao disambut oleh keluarganya di Lapangan Terbang Manila, semalam. Pacquiao, yang akan mencabar kerusi kongres dalam pilihan raya Filipina pada 10 Mei depan, tiba di tanah airnya semalam selepas mempertahankan tali pinggang welterweight WBO dengan menewaskan Joshua Clotter dari Ghana pada 14 Mac lepas. — Gambar Reuters

KELUARGA BAHAGIA: Juara tinju dunia, Manny Pacquiao disambut oleh keluarganya di Lapangan Terbang Manila, semalam. Pacquiao, yang akan mencabar kerusi kongres dalam pilihan raya Filipina pada 10 Mei depan, tiba di tanah airnya semalam selepas mempertahankan tali pinggang welterweight WBO dengan menewaskan Joshua Clotter dari Ghana pada 14 Mac lepas. — Gambar Reuters

“Saya sudah mencapai impian saya sebagai peninju tanpa Floyd Mayweather dalam kerjaya saya. Saya tidak memerlukan beliau, mereka adalah orang yang memerlukan saya,” kata Pacquiao, 31, ketika memberitahu wartawan sebaik saja tiba di tanahairnya selepas kemenangan terbaru.

Beliau kemudian memberi penekanan kepada rayuan berulang kali ibunya untuk beliau akhirnya bersara selepas satu kerjaya luar biasa yang menyaksikan beliau menjadi satu-satu peninju dalam sejarah untuk memenangi tujuh kejuaraan dunia dalam banyak kelas berat berbeza.

“Beliau melutut dan menangis setiap masa meminta saya bersara. Ia satu beban yang besar apabila ibu saya melakukannya,” kata beliau.

Pacquiao dilihat lebih jelas tentang persaraannya, dalam komen-komen yang disiarkan dalam laman sesawang stesen TV tempatan, GMA.

“Ia mungkin tidak sampai pada satu masa apabila saya akan bertarung dengan Mayweather. Saya mungkin mengumumkan persaraan, saya akan bercakap dengan keluarga saya mengenainya,” kata Pacquiao, menurut GMA.

Pacquiao menewaskan Joshua Clottey dari Ghana untuk mempertahankan gelaran welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBO) di Amerika Syarikat minggu lepas.

Beliau sudah memenangi 12 pertarungan berturut-turut, lapan daripadanya dengan kemenangan TKO, sejak tewas kepada Erik Morales pada Mac 2005.

Rundingan untuk pertarungan Pacquiao-Mayweather gagal mencapai kesepakatan pada awal tahun apabila Mayweather menegaskan prosedur ujian dadah ala Sukan Olimpik, yang enggan diterima oleh Pacquiao.

Pertarungan impian yang merupakan salah satu pertarungan ditunggu-tunggu semua orang dan juga jumlah wang kemenangan yang mungkin terbesar dalam sejarah sukan tinju itu bagaimanapun tidak tercapai.

Mayweather, yang masih belum kalah akan menentang Shane Mosley pada 1 Mei dan rundingan mungkin disambung semula untuk pertarungan menentang Pacquiao selepas itu, kata promoter Mayweather. — AFP