Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - MDeC sediakan dana RM60j bangun ICT seluruh negara
MDeC sediakan dana RM60j bangun ICT seluruh negara
Posted on March 24, 2010, Wednesday
Amanah daripada MSC galak pertumbuhan syarikat ICT
KOTA BAHARU: Multimedia Development Corporation (MDeC) menyediakan dana berjumlah RM60 juta untuk membantu membangunkan usahawan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di seluruh negara, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Halim Ali.Beliau berkata peruntukan itu diamanahkan oleh Multimedia Super Coridor (MSC) Malaysia untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat berasaskan ICT dan multimedia bagi merebut peluang untuk bersaing dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi ini.
“Inisiatif MSC ini merupakan satu komponen utama kepada usaha kerajaan merealisasikan impian sebagaimana termaktub dalam Wawasan 2020,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sijil Status MSC Malaysia Inkubator kepada ICT Inkubator Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pengerusi PKINK.
Abdul Halim berkata sebuah jawatankuasa kerja MCS Malaysia peringkat negeri Kelantan telah ditubuhkan pada 11 Mac tahun lepas yang berperanan merancang serta melaksanakan pelbagai program MSC di negeri ini.
Katanya jawatankuasa itu kini di peringkat akhir penyediaan dokumen strategic berhubung pembangunan ICT di negeri ini, bukan sahaja merangkumi pembangunan industri ICT dan multimedia, tetapi turut melibatkan program ICT.
Ini, katanya, bertujuan merapatkan jurang digital, meningkatkan tahap kualiti kehidupan rakyat serta program ICT bagi menyokong sektor atau industri sedia ada seperti pertanian dan pelancongan.
“Pihak MDeC juga telah mengambil inisiatif untuk menyediakan blueprint negeri Kelantan bertujuan untuk dijadikan panduan bagi membangunkan industri ICT dan multimedia di negeri ini,” katanya.
Beliau berbangga kerana pada masa ini 370 usahawan Bumiputera di negeri ini telah menyertai bidang berkenaan dan mendapat latihan daripada MDeC.
Usahawan dari Kelantan mendapat bantuan paling tinggi menerusi kemudahan dana yang disediakan MdeC iaitu antara RM500,000 dan RM1 juta, bagaimanapun, kebanyakan mereka adalah anak Kelantan yang menjalankan operasi syarikat di luar negeri ini.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, Nik Abdul Aziz menyifatkan ruang blog menerusi kemudahan Internet yang digunakan di negara ini sekarang sebagai kedai kopi terbuka yang memperkatakan semua perkara sama ada benar atau sebaliknya.
Sehubungan itu, beliau mahu umat Islam tidak menyalahgunakan kemudahan Internet dalam dunia moden dan tanpa sempadan ini dengan elemen-elemen yang tidak baik dan boleh merosakkan masyarakat. — Bernama
<< Previous Entry - Next Entry >>



