Skuad bayangan Sukma langkah kanan

0

MIRI: Skuad bayangan bola sepak Sukma Sarawak sedang giat mengadakan perlawanan persahabatan di bahagian utara negeri ini sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma XIII) yang bakal berlangsung di Melaka pada bulan Jun depan.Salah satu daripada jelajah itu adalah menentang skuad pilihan Miri yang dilangsungkan di padang bola sepak Kelab Rekreasi Petroliam Lutong di sini petang kelmarin (Khamis).

Dalam perlawanan itu, skuad negeri mencatat kemenangan tipis 3-2.

Pasukan pelawat bagaimanapun dikejutkan dengan gol awal pasukan tuan rumah apabila Osman Empu menyempurnakan satu sepakan penalti seawal minit pertama.

Skuad bayangan Sukma Sarawak bagaimanapun tidak menunggu lama menyamakan kedudukan menerusi gol yang disempurnakan oleh Rafiezan Razali pada minit ke-13 namun Osman sekali lagi menjadi duri dalam daging skuad negeri itu apabila menjaringkan kedua buat Miri.

Anak-anak buah Pengiran Bala bagaimanapun bangkit pada babak kedua perlawanan menerusi gol penyamaan Fred Maramat pada minit ke-53 sebelum Fred muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan buat pasukannya pada minit ke-70.

Pengiran Bala ketika ditemui sejurus tamat perlawanan berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya.

“Saya berpuas hati dengan mutu permainan anak-anak buah saya dan berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan bagi perlawanan seterusnya,” kata jurulatih skuad bola sepak Sukma Sarawak itu.

Walau bagaimanapun, beliau menekankan pentingnya pasukannya memperbaiki kelemahan di barisan pertahanan menjelang satu lagi perlawanan persahabatan menentang Universiti Curtin petang ini (Sabtu).

Mengulas tentang siri jelajah perlawanan persahabatan skuadnya ketika ini, Pengiran Bala yang juga bekas pemain Sarawak ia adalah sebagai persiapan bagi menghadapi Sukma selain menjadi pentas bagi memilih skuad muktamad untuk temasya itu nanti.

“Kita cuba memberikan seberapa banyak pendedahan kepada anak-anak buah saya,” katanya.

Pengiran turut menjelaskan bahawa beliau masih belum memuktamadkan lagi skuad yang akan turun berjuang di Melaka nanti. “Skuad ini bolehlah dikatakan sebagai skuad bayangan Sukma Sarawak,” jelasnya.

Ini kerana katanya, mereka masih dalam jelajah perlawanan persahabatan yang sekarang diadakan di Miri sebelum ke Bintulu dan akan ke Kuching semula.

“Kita juga mengintai mana-mana permain yang berbakat dari pasukan lain dalam perlawanan jelajah kami,” tambahnya sambil tersenyum.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri, Mohd. Saif Jubaidi pula berkata perlawanan bola sepak jelajah seperti ini sememangnya satu usaha murni untuk mencungkil bakat bola sepak di kalangan remaja tempatan khususnya di Miri.

“Kita dalam persatuan menyeru remaja dan malahan kanak-kanak supaya melibatkan diri dalam bola sepak supaya dapat dipilih bagi setiap zon,” ujarnya.

Pada masa sama, Pengarah Syarikat Fatimah Bersatu Sdn Bhd (FBSB), Medhi Abd. Rahman menyeru syarikat-syarikat lain supaya turut serta menyumbang kepada pembangunan bola sepak tempatan.

“Tidak perlulah secara langsung sangat (wang), sokongan moral pun dah kira cukup baik,” katanya.

Beliau turut mengatakan sumbangan yang dilakukan oleh sesebuah syarikat, walau sedikit sekalipun, mampu membantu perkembangan bola sepak di negeri ini.

Skuad bayangan Sukma Sarawak akan berkunjung ke Miri esok (Ahad) sebelum kembali semula ke Kuching.