Kereta berlanggar 4WD, remaja cedera teruk di kaki

0

KUCHING: Seorang remaja dihantar ke hospital kerana mengalami kecederaan teruk di kaki selepas sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) berlanggar di bawah jejantas Batu 3 semalam.

AKIBAT PANDU LAJU: Sebuah pacuan empat roda terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kereta Toyota Vios di bawah jejantas Batu 3.

AKIBAT PANDU LAJU: Sebuah pacuan empat roda terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kereta Toyota Vios di bawah jejantas Batu 3.

Kemalangan tersebut berlaku sekitar 1.30 petang apabila tiga adik beradik yang berusia 16, 18 dan 22 tahun bersama-sama dalam perjalanan ke rumah selepas mengambil adik bongsu berusia 16 tahun dari sekolah.

Menurut adik bongsu, abang sulungnya yang memandu Ford Ranger telah hilang kawalan terhadap kenderaan itu apabila sebuah kereta Proton dari laluan yang sama secara tiba-tiba masuk ke laluan mereka.

Kenderaan pacuan empat roda mereka terlanggar pembahagi jalan dan termasuk ke laluan bertentangan serta terus berlanggar dengan Toyota Vios sebelum terbalik di bawah jejantas tersebut.

Wanita yang memandu Vios dan anaknya, termasuk adik beradik yang berusia 16 dan 22 tahun mengalami kecederaan ringan dalam insiden berkenaan.

Bagaimanapun, remaja yang berusia 18 tahun terperangkap di tempat duduknya dan memerlukan bantuan daripada pihak bomba untuk mengeluarkannya.

Mangsa mengalami kecederaan teruk di kaki kirinya dan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

Dalam kejadian berasingan, dua orang dimasukkan ke hospital dan tiga lagi mengalami kecederaan apabila Toyota Hilux yang dipandu mereka melanggar pokok pada malam Isnin lalu.

Insiden berkenaan berlaku sekitar jam 11.30 malam di Jalan Tun Abdul Rahman berdekatan dengan Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya apabila pemandu wanita berusia 20 tahun itu hilang kawalan ketika mengelak melanggar sebuah motosikal.