Dadah: 14 pelajar diberkas

0

26 paket plastik berisi 286 biji pil khayal dirampas dalam serbuan di Tg Kidurong

BINTULU: Empat belas pelajar sekolah merupakan antara 18 orang yang diberkas dalam satu serbuan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bintulu ke atas sebuah rumah di Taman Perumahan Rakyat Fasa Satu, Tanjung Kidurong di sini pagi semalam kerana dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

KEJAYAAN POLIS: Poniman (dua kanan) bersama (dari kiri) Inspektor Al Taufik, Inspektor Shahrul dan Inspektor Khairul Nizam pada sidang media mengenai tangkapan pelajar terlibat dengan dadah semalam.

KEJAYAAN POLIS: Poniman (dua kanan) bersama (dari kiri) Inspektor Al Taufik, Inspektor Shahrul dan Inspektor Khairul Nizam pada sidang media mengenai tangkapan pelajar terlibat dengan dadah semalam.

Mereka terdiri daripada 12 perempuan dan enam lelaki yang berusia antara 15 hingga 20 tahun. Seorang daripada mereka dipercayai pengedar dadah berusia 20 tahun.

Polis turut merampas 26 paket plastik lutsinar yang berisi 286 biji pil khayal daripada kumpulan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bintulu, DSP Poniman Margiman berkata, pelajar terbabit diberkas sekitar jam 9.10 pagi semalam oleh pasukan polis JSJN Ibu Pejabat Polis Bintulu yang diketuai oleh Inspektor Khairul Nizam selepas menerima maklumat mengenai kegiatan pelajar terbabit daripada orang awam.

“Polis memperkenalkan diri sebelum membuat serbuan dan mendapati 11 orang dipercayai berkumpul di ruang tamu, sementara tujuh pelajar perempuan berkurung di dalam sebuah bilik di rumah itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu semalam.

Beliau berkata, semasa serbuan itu, pelajar terbabit telah bertindak membuang bungkusan plastik yang berisi pil khayal ke luar tingkap rumah, tetapi perbuatan itu disaksikan oleh tiga anggota dan seorang pegawai polis yang menyerbu.

“Kita telah mengambil kesemua barang kes itu dan siasatan awal kita turut mendapati sebahagian pelajar terbabit telah ponteng sekolah,” katanya.

Poniman berkata, polis juga merampas 26 paket plastik lutsinar yang setiap satu paket mengandungi 11 bijil pil khayal.

“260 biji pil khayal itu berada di dalam sebuah kotak rokok (23 paket) dan tiga paket plastik lagi yang mengandungi pil itu berada di dalam sampul ‘angpau’ yang kesemuanya 286 biji dengan setiap paket berharga RM10,” jelasnya.

Berikutan penahanan pelajar terbabit, Poniman menasihati ibu bapa di sini untuk sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka kerana pihaknya mendapati pelajar yang ditangkap itu ponteng sekolah dengan bertindak mengambil dan menyalahgunakan dadah.

Katanya, melihat kepada perjalanan masa depan anak-anak itu yang masih jauh, pihaknya mengingatkan ibu bapa agar membuat pengawasan yang lebih ketat terhadap anak-anak mereka.

Beliau berkata, polis Bintulu akan meneruskan operasi sepanjang tahun ini bagi membanteras penyalahgunaan dadah, sekali gus memastikan perkara sedemikian tidak berulang.

Ditanya perkembangan kes penangkapan pelajar terbabit, beliau berkata hasil pemeriksaan dan ujian mendapati daripada 18 yang diberkas, 13 orang positif dadah, iaitu lapan perempuan dan lima lelaki, manakala ujian ke atas lima orang lagi adalah negatif.

“Kita akan membuat siasatan lanjut ke atas 13 orang yang positif ini untuk mengetahui dari mana mereka mendapat bahan itu dan menyiasat mengenai saki-baki kemungkinan pelajar lain yang turut terlibat,” katanya.

Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Inspektor Shahrul Anuar, Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul Nizam Abdul Ghani dan Inspektor Al Taufik Osman turut hadir pada sidang media itu.