Site Last Updated 11:38 am, Friday

Kecekapan pengangkutan awam dipertingkat

Posted on April 1, 2010, Thursday

Kajian kebolehupayaan bas awam tiba di sesuatu destinasi dalam tempoh lima minit bermula Sabtu ini

KUCHING: Satu kajian praktikal terhadap kebolehupayaan sesebuah bas awam tiba di sesuatu destinasi dalam tempoh lima minit di satu laluan akan bermula pada Sabtu ini.

KHIDMAT BERKUALITI: Abang Johari ketika melancarkan perkhidmatan bas Rapid Kuching di pekarangan Kompleks Pelancongan Sarawak. Turut kelihatan, Atei (tiga kanan) dan Affandi (dua kiri).

KHIDMAT BERKUALITI: Abang Johari ketika melancarkan perkhidmatan bas Rapid Kuching di pekarangan Kompleks Pelancongan Sarawak. Turut kelihatan, Atei (tiga kanan) dan Affandi (dua kiri).

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kekerapan yang dicadangkan dalam kajian itu memerlukan sesebuah bas tiba selang setiap lima minit.

Kekerapan ketibaan bas itu katanya, amat diperlukan antara 6 pagi dan 9 pagi serta antara 4 petang dan 8 malam, iaitu ketika orang ramai berulang-alik ke tempat kerja.

Dengan kecekapan masa, orang ramai kelak diharap dapat menaruh keyakinan terhadap pengangkutan awam sebagai kenderaan utama untuk bergerak di Kuching.

“Projek perintis kita mulakan dengan Rapid Kuching menggunakan dua bas iaitu dari Kubah Ria ke Bako, manakala satu lagi dari Bako ke Kubah Ria,” katanya dalam majlis pelancaran perkhidmatan bas Rapid Kuching di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Kuching Sdn Bhd Henry Lai, Timbalan

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Abang Affandi Abang Anuar dan  Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Mohd Atei Abang Medaan.

Bertemakan ‘Hop on with us’ dua bas itu akan bergerak serentak pada jam 7 pagi dan perjalanan terakhir ialah pada 5.30 petang.

Jika projek perintis oleh Rapid Kuching itu berjaya, beliau memberitahu ia akan dikembangkan ke kawasan lain.

Abang Johari berkata, pengangkutan yang lebih cekap itu memerlukan pihak swasta membuat pelaburan tinggi kerana sesebuah syarikat perlu menyediakan banyak bas untuk setiap laluan.

“Ini bermakna jika ada 30 laluan, syarikat bas perlu ada 30 bas,” katanya.

Bagi menjayakan usaha menaik taraf sistem pengangkutan awam, pembabitan Rapid Kuching sahaja tidak memadai bagi menampung permintaan orang ramai.

Ia katanya, perlu merangkumkan syarikat-syarikat bas seperti City Link dan Sarawak Transport Company.

Mengenai persaingan yang dikatakan lebih cekap ditawarkan oleh van sapu, beliau berkata pengangkutan awam yang cekap akan dipilih para pengguna.

Van sapu katanya pada masa ini menjadi pilihan orang ramai adalah kerana khidmat pengangkutan awam yang tidak berkualiti.

“Memandangkan kita (pengangkutan awam) tidak memberi perkhidmatan terbaik, kita tidak boleh menyalahkan orang ramai (kerana memilih van sapu),” katanya.

Sementara itu, Henry berkata kewujudan Rapid Kuching adalah dengan matlamat meningkatkan kualiti pengangkutan awam di bandar raya ini.

“Kita dari semasa ke semasa akan mewujudkan laluan baru bagi meningkatkan keberkesanan jaringan,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.