Rupa-rupanya ada rahmat di sebalik penyingkiran

0

Chelsea yakin bertandang ke Old Trafford malam ini ketika United, Arsenal ratapi nasib tonggak cedera

LONDON, England: Chelsea mungkin menganggap penyingkiran mereka dari pentas Liga Juara-Juara sebagai satu rahmat.Tidak seperti Chelsea, Arsenal dan Manchester United masih bersaing dalam kejohanan elit bola sepak Eropah itu namun pembabitan mereka dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir minggu ini mengundang seribu macam masalah apabila dua pemain utama untuk kedua-dua kelab, Cesc Fabregas (Arsenal) dan Wayne Rooney (Manchester United), dijangka tidak dapat bermain untuk satu tempoh yang lama.

Selepas terhincut-hincut meninggalkan padang ketika United tewas 1-2 kepada Bayern Munich Selasa lepas, Rooney diketepikan serta-merta untuk perlawanan penting Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea di Old Trafford malam ini (Sabtu).

Fabregas pula tidak akan dapat bermain lagi musim ini selepas cedera patah kaki ketika Arsenal seri 2-2 dengan Barcelona sementara pemain pertahanan tengah, William Gallas dan pemain tengah, Andrey Arshavin juga tidak akan bermain untuk beberapa minggu.

Berbeza dengan Chelsea, keadaan kelihatan kembali ceria selepas musim mereka dilihat musnah dengan kekalahan kepada Inter Milan dalam Liga Juara-Juara dan seri 1-1 dengan Blackburn Rovers yang menyebabkan mereka tercicir dua mata penting selain tewas kepada Manchester City sebelum itu.

Kemenangan 7-1 ke atas Aston Villa mengembalikan keyakinan mereka dan akan berkunjung ke Old Trafford dengan impian melengkapkan kemenangan berganda ke atas United selepas menang 1-0 di Stamford Bridge pada bulan November lalu.

“Kami tidak sabar untuk mengharunginya,” kata pemain tengah Chelsea, Frank Lampard dengan penuh bersemangat. “Kami sudah pun menewaskan United musim ini dan juga Liverpool serta Arsenal dan kami bermain dengan formasi yang berbeza dalam semua perlawanan itu. Ia menunjukkan kualiti pemain yang kami ada.

“Kami mengharungi sedikit masalah bulan lepas tetapi ia sudah dilupakan sekarang dan kami memberikan tumpuan kepada sasaran kami.”

Nicolas Anelka mengetuai barisan serangan Chelsea ketika menentang Villa tetapi ia boleh dijangka di mana Didier Drogba akan kembali ke kesebelasan utama Chelsea di Old Trafford ketika ketiadaan Rooney akan memberikan rakan penyerangnya, Dimitar Berbatov satu lagi peluang untuk menyakinkan para penyokong United betapa beliau juga mampu melaksanakan tugas dengan berkesan seperti mana rakan sepenyerangnya itu.

Satu kemenangan akan membolehkan United menjarakkan kedudukan dengan kelebihan empat mata di singahsana liga dengan baki lima perlawanan pada musim ini sementara keputusan seri dilihat sebagai keputusan terbaik untuk Arsenal.

Arsenal akan memulakan perlawanan mereka menentang Wolves dengan ketinggalan tiga mata di belakang United tetapi dengan kelebihan lawan yang kurang kuat pada baki musim ini berbanding United dan Chelsea, mereka boleh mengintai peluang.

Dalam saingan di kelompok bawahan liga, Hull akan keluar dari zon penyingkiran – untuk sekurang-kurangnya 24 jam – sekiranya mengutip mata di Stoke City.

Harapan Hull untuk mengelak penyingkiran dipertingkatkan lagi dengan kemenangan kontroversi ke atas Fulham, yang merehatkan beberapa pemain utama menjelang perlawanan suku akhir pertama Liga Europa menentang Wolfsburg dan satu keputusan positif di Stadium Britannia akan terus memberikan tekanan ke atas West Ham United.

West Ham tewas enam perlawanan liga secara berturut-turut, satu tempoh yang menyebabkan pengurusnya, Gianfranco Zola ada terfikir untuk meletak jawatan sebelum perlawanan di Everton.

Satu kekalahan di gelanggang sendiri kepada Blackburn Rovers memastikan penyingkiran Portsmouth disahkan menjelang malam esok (Ahad), bergantung kepada keputusan lain dan Burnley dijangka menjadi calon pilihan untuk menyertai mereka melainkan dapat merosakkan impian Manchester City memburu satu tiket beraksi dalam Liga Juara-Juara musim hadapan, pada perlawanan di Turf Moor.

Kemenangan City ke atas Wigan Isnin lepas membolehkan skuad bimbingan Roberto Mancini kurang dua mata di belakang pasukan di tempat keempat, Tottenham Hotspur, yang akan bertandang ke Sunderland malam ini.

Liverpool, yang bersaing untuk tempat keempat liga dan tempat kelayakan terakhir beraksi dalam Liga Juara-Juara, mengharapkan ‘bantuan’ dari Sunderland untuk menewaskan Spurs tetapi perlu menewaskan Birmingham di gelanggang lawan esok. — AFP