Isu cetak rompak, pihak berkuasa perlu tegas

0

Industri lagu Iban akan runtuh jika pihak tidak bertanggungjawab terus dibiarkan bermaharajalela

SIBU: Pihak berkuasa diminta agar bertindak lebih tegas dalam menangani isu cetak rompak cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD) lagu-lagu Iban di negeri ini yang semakin berleluasa.

PALSU: Salah satu contoh album VCD cetak rompak yang tidak mempunyai Pelekat Tulen.

PALSU: Salah satu contoh album VCD cetak rompak yang tidak mempunyai Pelekat Tulen.

Penyanyi terkenal Iban, Clemence Joy’s berkata, ‘penyakit’ cetak rompak sehingga kini masih belum dapat diselesaikan, malah kian memudaratkan industri lagu Iban.

“Masalah terbabit kini dilihat kian berleluasa malah segelintir individu ataupun pihak yang tidak bertanggungjawab dilihat masih aktif melakukan kegiatan terbabit. Namun, sehingga kini mereka masih bebas menjalankan operasi tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkenaan,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.

Clemence berkata, proses sesuatu pembikinan CD atau VCD turut melibatkan kos yang tinggi yang terpaksa dibayar kepada pihak berkaitan.

“Bagi album yang diterbitkan melalui proses yang sah, setiap syarikat rakaman atau syarikat terbitan perlu membayar kos kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan B-Kad, Pelekat Tulen dan sebagainya bagi mengesahkan ia adalah album yang original,” katanya.

“Kos berkenaan amat tinggi, misalnya jika kita mencetak RM10,000 unit album VCD, kita juga perlu membayar RM10,000 kerana setiap B-Kad dijual dengan harga RM1 setiap satu.

“Dengan RM10,000 itu kita akan bayar kepada pihak berkenaan bagi mendapatkan kelulusan untuk mengesahkan album yang original,” jelasnya sambil memberitahu bahawa B-Kad dan Pelekat Tulen biasanya dilekatkan di bahagian depan kulit album untuk mengesahkan ia adalah original.

Menurut Clemence yang memiliki syarikat sendiri iaitu Clemence Joy’s Music Production (CJMP) di sini, dengan membayar kos yang sepatutnya kepada pihak berkenaan, mereka juga harus membantu album artis-artis Iban daripada dicetak rompak.

“Kalau kita membayar jumlah yang banyak, ia seolah-olah tidak adil bagi kami. Pihak berkenaan juga mesti melindungi kami (artis Iban) serta melindungi hak cipta kami daripada dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

“Pihak berkenaan juga berhak mengenakan tindakan yang sewajarnya kepada lanun cetak rompak yang berlaku di negeri ini,” katanya sambil menggesa pihak berkenaan agar lebih kerap turun padang bagi membuat pemeriksaan di kedai-kedai CD dan VCD di negeri ini.

Clemence menarik perhatian, jika gejala ini terus berleluasa industri lagu Iban akan runtuh, malah setiap syarikat rakaman akan mengalami kerugian yang besar, sekali gus tidak dapat menghasilkan album-album yang berkualiti pada masa akan datang.

“Jika membeli album yang original ia adalah tanda sokongan serta membantu menjana pendapatan sesebuah syarikat rakaman dan penyanyi itu sendiri,” katanya.

“Tetapi kalau membeli album cetak rompak, ia hanya menguntungkan individu yang tiada kaitan dalam pembikinan sesebuah album,” jelasnya sambil menambah bahawa pembikinan sesebuah album bukannya mudah kerana banyak tenaga, masa, modal yang digunakan.

Dalam pada itu, beliau merayu agar pihak berkenaan menjalankan peranan yang sepatutnya demi industri muzik Iban agar masalah cetak rompak khasnya lagu Iban di negeri ini dapat dihapuskan sama sekali.

“Selain itu, saya merayu kepada yang terlibat dalam gejala ini agar memberhentikan kegiatan terbabit demi ‘periuk nasi’ kami (penyanyi Iban),” katanya lagi.