Liverpool cuma seri di Birmingham

0

Keputusan bermakna peluang duduki tempat keempat semakin menipis

LONDON, England: Peluang Liverpool untuk bermain di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan nampaknya semakin menipis Ahad lepas apabila sekadar terikat 1-1 di Birmingham City, sekali gus menyebabkan mereka ketinggalan empat mata di belakang tangga keempat Liga Perdana Inggeris, tiket kelayakan terakhir bermain dalam Liga Juara-Juara.Steven Gerrard membuka jaringan untuk Liverpool, dua minit selepas rehat tetapi kedudukan kembali sama rata sembilan minit selepas itu apabila Liam Ridgewell menanduk gol penyamaan dan para penyokong pasukan pelawat semakin berang apabila penyerang utama Liverpool, Fernando Torres dikeluarkan.

Liverpool kekal di tangga keenam dengan 55 mata daripada 33 perlawanan dengan Tottenham Hotspur di tangga kelima dengan 58 mata selepas 32 perlawanan dan Manchester City, yang kini menjadi pasukan pilihan untuk menduduki tempat keempat liga selepas membelasah Burnley 6-1 di gelanggang lawan pada hari Sabtu, mengumpul 59 mata selepas 32 perlawanan.

West Ham United pula memperolehi satu mata penting dalam usaha mengelak penyingkiran apabila seri 2-2 di Everton menerusi gol penyamaan lewat Ilan sementara Wigan Athletic kekal dalam zon penyingkiran selepas mensia-siakan pendahuluan 1-0 ketika tewas 1-2 di Fulham.

West Ham, yang dibimbing Gianfranco Zola, menamatkan enam kekalahan berturut-turut walaupun dua kali ketinggalan dan penyerangnya, Mido gagal menyempurnakan tendangan penalti. Mereka kini mengumpul 28 mata, satu mata di hadapan Hull City, yang berada dalam zon penyingkiran. Wigan pula mengumpul 31 mata.

Pengurus Liverpool, Rafael Benitez mendakwa faktor keletihan mendorong beliau untuk mengeluarkan Torres dari padang ketika perlawanan masih berbaki 25 minit untuk ditamatkan dan penyerang antarabangsa Sepanyol itu yang sudah menjaringkan 18 gol liga musim ini, hanya mampu menggelengkan kepalanya.

“Beliau keletihan sebenarnya, kami bermain 60 minit dengan 10 pemain sebelum perlawanan ini,” kata Benitez, di mana pasukannya akan cuba bangkit daripada kekalahan 1-2 kepada Benfica pada perlawanan kedua peringkat suku akhir Liga Europa pada Khamis ini.

“(David) Ngog bagus untuk kami kerana beliau lebih cergas. Pergerakannya bagus untuk pasukan.

“Kami mempunyai Ryan Babel, Dirk Kuyt dan Maxi Rodriguez, jadi kami mempunyai cukup pemain di bahagian serangan.”

Ngog bagaimanapun gagal menyempurnakan dua peluang terbaik untuk meletakkan Liverpool di hadapan selepas menggantikan Torres dan ini menyebabkan para penyokong Liverpool semakin meluat.

Selepas separuh masa pertama yang membosankan, Gerrard menamatkan kemarau jaringan untuk membuka jaringan dengan satu penyudah cantik tetapi pertahanan longlai Liverpool membolehkan Ridgewell yang tidak dikawal menyamakan kedudukan apabila menyempurnakan satu hantaran lintang James McFadden.

“Ia adalah satu gol yang bodoh, apabila anda bolos gol, ianya memang tidak bagus tetapi gol ini lebih buruk daripada itu,” tambah Benitez.

“Reaksi pasukan adalah bagus, kami menyerang dan mencipta banyak peluang. Kami kecewa kerana ia adalah satu permainan yang baik.”

Liverpool kini menyertai Manchester United, Chelsea, Arsenal, Manchester City dan Tottenham Hotspur sebagai pasukan gergasi yang gagal menang di Birmingham musim ini dan dengan baki lima perlawanan sahaja lagi, tiga di gelanggang lawan, ‘The Reds’ cukup menyedari tugas getir menanti mereka untuk menduduki tempat keempat musim ini. — Reuters