Sektor swasta tawar lebih banyak peluang pekerjaan

0

KUCHING: Mentaliti pelajar lepasan sekolah yang hanya menumpukan kepada sektor kerajaan sebagai pilihan utama dalam mencari pekerjaan harus diubah.Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata, lepasan sekolah, khasnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu melihat peluang pekerjaan dalam sektor swasta kerana ia menyenaraikan lebih banyak jawatan kosong dalam kebanyakan industri di masa hadapan.

“Salah satu daripada perkara yang kita ketahui berkaitan dengan lepasan sekolah adalah mentaliti mereka yang memilih sektor kerajaan sebagai pilihan utama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pembangunan Sumber Manusia Lepasan Sekolah di pejabatnya di Wisma Bapa di sini, semalam.

Menurut beliau, mentaliti sedemikian harus diubah kerana kekosongan jawatan pada masa hadapan kebanyakannya wujud dalam sektor swasta, bukannya dalam sektor awam.

“Sebagai contoh, dengan terlaksananya Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) nanti, banyakan peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor swasta.

“Justeru, satu perkara yang perlu diterapkan di dalam diri anak-anak dan juga pelajar lepasan sekolah ialah hakikat bahawa sector swasta menyediakan peluang pekerjaan yang banyak pada masa hadapan, selain menyediakan upah yang lumayan,” tegas beliau.

Malah, katanya hasil pengalaman bekerjasama dengan JTK sebelum ini juga mendapati ramai pencari pekerjaan yang masuk atau mendaftar dalam Jobs Malaysia sebenarnya bertujuan untuk mencari peluang pekerjaan di sektor kerajaan.

Sementara itu, Fatimah turut menyarankan kepada para pelajar sekolah agar mengubah persepsi mereka bahawa mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris adalah sukar untuk dipelajari.

Katanya, ia bagi melahirkan generasi atau modal insan yang berkualiti daripada semua aspek, selain meningkatkan peratus kelulusan peperiksaan dalam ketiga-tiga mata pelajaran itu.

“Justeru, kita di Majlis Pembangunan Sumber Manusia Lepasan Sekolah merasakan perkara ini perlu dibincangkan dengan mengadakan pelbagai aktiviti.

“Pada tahun lepas kita telah memulakan aktiviti yang dinamakan Public Understanding of Science and Technology (PUSAT) sebagai satu usaha kerajaan negeri untuk menggalakkan anak-anak berminat dalam sains, teknologi dan matematik,” kata Fatimah.

Hadir sama Menteri Muda Hal Ehwal dan Latihan Belia merangkap ahli majlis Pembangunan Sumber Manusia Lepasan Sekolah, Larry Sng.