Bapa rogol anak dipenjara 18 tahun dan disebat 16 kali

0

Mangsa telah dirogol berulang kali sejak berusia 12 tahun

MIRI: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 28 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 15 tahun.Hukuman itu dijatuhkan Hakim Musyiri Peet ke atas tertuduh yang berusia 36 tahun, setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Ketika membacakan keputusannya, Musyiri berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan perlu dikenakan hukuman setimpal.

“Sebagai ayah, tertuduh seharusnya menjaga mangsa dengan baik dan bukan mengambil kesempatan ke atasnya.

“Justeru , satu hukuman yang berat harus dikenakan ke atas tertuduh sebagai memberi keinsafan dan pengajaran kepadanya serta orang awam lain agar tidak melakukan kesalahan serupa,” tegas beliau.

Tertuduh dari Jalan Kampung Pujut Padang Kerbau di sini telah didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari enam tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, pada 19 April lalu, mangsa dengan ditemani ibu kandungnya telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, mangsa mendakwa antara jam 4 pagi hingga 4.24 pagi hari sama, beliau telah dirogol oleh tertuduh yang merupakan bapa kandungnya.

Ketika kejadian, mangsa sedang menemani tiga adiknya masing-masing berusia antara lima tahun hingga lapan bulan yang tidur di bilik tidur tertuduh sementara tertuduh menghantar ibu tiri mangsa pergi bekerja.

Selepas kejadian, mangsa terus bangun bersiap-siap untuk pergi ke sekolah seperti biasa.

Namun, pada hari itu, dia tidak terus ke sekolah, sebaliknya menemui ibu kandungnya bagi menceritakan kejadian malang tersebut dan kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbang adik-adiknya yang lain akan turut menjadi mangsa kelak.

Menurut mangsa, kejadian itu bukan yang pertama, malah telah berulang kali sejak mangsa berusia 12 tahun dengan kejadian pertama pada Januari 2007 di bilik tidur yang sama.

Bagi kesalahan pertama dan kedua, tertuduh masing- masing dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan kali sebatan. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan berurutan berkuat kuasa semalam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Franklin Ganggan Bennet.