Beckham jangka kembali beraksi November depan

0

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS): David Beckham tidak akan kembali cergas untuk bermain sehinggalah bulan November ketika beliau meneruskan proses pemulihan dari satu pembedahan untuk memperbaiki kecederaan buku lali, kata pemain tengah antarabangsa England itu Isnin lepas.Beckham, yang sudah tidak dapat diturunkan bermain di Piala Dunia 2010, mengalami kecederaan pada bulan Mac ketika dipinjamkan ke AC Milan dari Los Angeles Galaxy. Beliau sekarang dijangka tidak akan dapat bermain untuk baki musim Liga Bola Sepak Utama (MLS).

“Saya tidak akan berlari untuk tiga bulan lagi, jadi saya mungkin akan bermain pada bulan November,” kata Beckham dalam satu video yang disiarkan dalam laman sesawang ABC.com sebelum penampilan dalam rancangan bual bicara The View.

Tidak lama selepas kecederaan di mana AC Milan menang 1-0 ke atas Chievo, Beckham terbang ke Finland untuk satu pembedahan oleh salah seorang pakar bedah utama dunia.

Pemain tengah itu memulakan terapi 10 hari yang lalu, menurut satu lagi siaran temu bual dalam MLSnet.com Isnin lepas.

“Saya seperti mahu mendesak sesuatu tetapi dengan kecederaan seperti ini, anda tidak akan dapat. Anda hanya perlu menunggu ia sembuh dan meneruskan kehidupan,” kata Beckham.

“Ketika ini, ia adalah tentang memulihkan bahagian yang cedera. Sememangnya ia masih dalam proses jadi saya tidak dapat berbuat apa-apa.”

Ketika Beckham tidak akan cergas untuk bermain di Piala Dunia 2010 pada Jun depan, beliau dijangka akan tetap pergi ke Afrika Selatan untuk menyokong pasukannya dan mungkin diberikan peranan khas dalam pengurusan skuad Fabio Capello. — Reuters