Site Last Updated 11:12 am, Thursday

Guru harus berintegriti tinggi

by Patricia Gari. Posted on April 28, 2010, Wednesday

Pelajar cenderung meniru atau mencontohi tingkah laku mereka

KUCHING:Warga pendidik harus memiliki integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas kerana pelajar cenderung meniru atau mencontohi tingkah laku mereka.Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata ini kerana guru adalah contoh terbaik kepada pelajar.

“Kita tidak boleh meyakinkan pelajar hanya menerusi katakata kerana tingkah laku guru itu memberi kesan mendalam kepada perubahan sikap serta sahsiah pelajar.

“Lebih-lebih lagi dalam penyalahgunaan dadah, kita (guru) bercakap mengenai keburukan pengambilan dadah terlarang sebaliknya melakukan sendiri perkara itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Fatimah berkata demikian bagi mengulas insiden seorang guru lelaki bersama isterinya diberkas polis petang Ahad lalu kerana disyaki mengedar dadah kepada pelajar tempat dia bertugas.

Guru berkenaan berusia 26 tahun dari Pendang, Kedah manakala isterinya, 17, suri rumah dari Kabong, Betong.

Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong Inspektor Mohamad Kamarul Anuar Khamis, pasangan berkenaan ditangkap di pangkalan feri di Pusa ekoran penemuan 10 gram ganja dan 1,482 kapsul pil psikotropik di dalam kereta mereka.

Pasangan itu kini ditahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Fatimah menambah, jika benar kejadian seumpama itu berlaku, ia suatu yang amat mendukacitakan.

“Di mana integriti kita sebagai seorang guru dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk memastikan anak didik kita bebas daripada dadah,” tegasnya.

Ditanya sama ada wujud kelemahan pada system pengambilan pelatih guru negara, Fatimah berkata ada kemungkinan sikap individu itu akan berubah apabila sudah berkhidmat.

Perubahan itu katanya membabitkan sikap, sahsiah dan pegangan nilai (guru) berbanding semasa mengambil ujian kecenderungan sebelum diambil sebagai guru pelatih.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.