Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Ugutan diterima berikutan keterangan Dr Vanezis dalam inkues kematian Teoh Beng Hock
Ugutan diterima berikutan keterangan Dr Vanezis dalam inkues kematian Teoh Beng Hock
Posted on April 28, 2010, Wednesday
SHAH ALAM: Pakar Forensik British Prof Dr Peter Vanezis membuat laporan polis malam kelmarin selepas menerima e-mel berupa ugutan berikutan keterangannya dalam inkues kes kematian Teoh Beng Hock.Ugutan terhadap Dr Vanezis juga dilaporkan oleh ketua pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa kepada inkues yang disambung semalam.
Abdul Razak berkata e-mel itu “menakutkan dan mengancam keselamatan” pakar British itu yang memberi keterangan untuk kali pertama kelmarin.
Dr Vanezis tidak senang dengan e-mel ancaman terhadap beliau dan keluarganya itu, kata Abdul Razak.
Laporan polis dibuat di balai polis Seksyen 11 Shah Alam pada jam 11 malam.
Dr Vanezis, yang dilantik SPRM dan pakar patalogi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor, telah menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh yang digali semula dari kubur pada November tahun lepas.
Kelmarin, beliau memberitahu inkues bahawa Teoh berada dalam keadaan sedar semasa jatuh dan beliau tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Teoh telah dicekik sebelum kematiannya.
Dr Vanezis, disoal balas oleh peguam bela Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh.
Pada 17 Julai tahun lepas, Teoh ditemui mati di koridor di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas disoal siasat oleh SPRM Selangor di pejabat suruhanjaya itu yang terletak di bangunan yang sama, berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri.
Ditemui Bernama selepas selesai memberi keterangannya, Dr Vanezis berkata sebelum kes ini, beliau hanya menerima satu panggilan telefon berupa ugutan sejak 35 tahun lepas dan ia mempunyai kaitan dengan satu kes di United Kingdom.
“E-mel itu bertujuan menakut-nakutkan saya sehingga ia boleh menjejaskan keterangan saya hari ini (semalam). Tetapi sebagai seorang yang profesional, saya tidak boleh ditakutkan oleh e-mel seumpama itu.
“Saya harap pihak polis akan menjalankan siasatan,” kata profesor British itu yang tidak asing di negara ini.
Dr Vanezis berkata beliau telah beberapa kali ke negara ini untuk mengendalikan pemeriksaan luar bagi sains forensik di Universiti Sains Malaysia dan dua lagi fakulti perubatan.
Dr Vanezis berkata ancaman melalui e-mel itu tidak akan melemahkan semangatnya dan bersedia untuk datang ke negara ini sekiranya kepakaran beliau diperlukan. — Bernama
<< Previous Entry - Next Entry >>



