Pelajar jadi mangsa tipu

0

Mangsa rugi sebanyak RM720 selepas dihubungi dan diberitahu kononnya dia memenangi hadiah RM15,000

MIRI: Meskipun sering didedahkan dalam media cetak dan elektronik mengenai penipuan membabitkan peraduan yang menawarkan wang tunai, namun masih ada juga masyarakat negara ini yang mempercayainya.Akibatnya mereka menjadi mangsa penipuan.

Semalam, seorang pelajar berusia 17 tahun menjadi mangsa penipuan membabitkan wang tunai RM720 selepas dihubungi oleh sekumpulan lelaki yang memberitahu kononnya dia telah memenangi hadiah sebanyak RM15,000 dalam peraduan Power Root.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Alex memberitahu, pada mulanya lelaki tersebut memberitahu ‘khabar gembira’ tersebut dan meminta dia memasukkan RM60 sebagai wang deposit.

Teruja dengan ‘khabar gembira’ itu, Alex tanpa berfikir panjang membayar wang deposit sebanyak RM60 itu menggunakan kredit Hotlink.

Menurut Alex, tidak lama selepas itu lelaki berkenaan menghubunginya semula dan meminta sejumlah wang dan tanpa berlengah dia memasukkan sebanyak RM200 dan kali ketiga RM460.

“Namun, saya mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila mereka menyebut nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan senarai semua pemenang akan diumumkan menerusi siaran TV3 malam ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Miri.

Sementara itu, polis yang menerima laporan itu percaya penipuan itu didalangi oleh warga Indonesia berdasarkan penggunaan perkataan ‘bisa’ yang disebut semasa menghubungi mangsa.

Gara-gara sibuk melayan panggilan tersebut, Alex bukan sahaja kehilangan wangnya tetapi juga gagal datang ke sekolah.