Site Last Updated 12:09 pm, Friday

Kuota pengeluaran beras ST15 cukup tampung keperluan golongan miskin

Posted on May 4, 2010, Tuesday

KUALA LUMPUR: Kuota pengeluaran beras ST15 sebanyak 40,000 tan metrik sebulan adalah mencukupi bagi menampung satu pertiga keperluan penduduk miskin dan yang memerlukan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim.Beliau berkata mengikut statistik yang dikeluarkan portal pembasmian kemiskinan e-kasih hingga 30 Mac tahun ini, jumlah penduduk miskin adalah seramai 219,606 orang yang dipecahkan kepada miskin tegar 39,553 orang, miskin 69,896 dan mudah miskin 110,157 orang.

“Justeru, kuota pengeluaran tersebut mencukupi untuk menampung satu pertiga keperluan kumpulan tersebut, berdasarkan kepada penggunaan beras per kapita bagi rakyat Malaysia sebanyak 76.9 kilogram seorang setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ahmad Hussin pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara di sini semalam.

Ahmad dalam soalannya meminta kementerian mencukupkan beras ST15 di pasaran dan memansuhkan ST10 bagi membantu golongan miskin.

Rohani berkata kerajaan bagaimanapun akan mengkaji cadangan pemansuhan beras ST10 terlebih dahulu berdasarkan kepada kesesuaian dan keperluan rakyat.

Menjawab soalan anggota yang sama, Rohani berkata tiada sebarang harga siling yang ditetapkan untuk penjualan padi, sebaliknya kerajaan hanya menetapkan harga lantai.

“Kita ada Harga Minimum Terjamin (GMP) yang berfungsi menjamin pesawah terima hasil jualan padi yang berpatutan. Kementerian tidak sekat berapa tinggi harga padi, tapi mesti ada harga lantai yang bermakna tak boleh kurang, tertakluk kepada kuasa pasaran. GMP adalah sebagai tanda aras pengilang agar tidak boleh beli lebih rendah daripada harga yang kerajaan tetapkan,” katanya.

Katanya GMP padi pada masa ini adalah sebanyak RM 750/tan berbanding harga pasaran RM1,000/tan.

“Pengilang boleh tawar harga kepada petani selama mana ia tidak kurang daripada GMP. Bagaimanapun, harga padi yang tinggi boleh ganggu kestabilan harga beras tempatan yang akhirnya jadi beban kepada pengguna,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa harga beras masih dalam kawalan kementerian.

Sementara itu, Rohani berkata Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri telah melantik jururunding bagi membuat kajian terma penswastaan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan membangunkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pada 2008. “Hasil kajian tersebut menyatakan bahawa Bernas, secara keseluruhannya telah melaksanakan semua obligasi yang terkandung dalam perjanjian kontrak sedia ada.

“Jawatankuasa pemandu di unit yang sama juga telah membuat cadangan supaya perjanjian konsesi dengan Bernas dilanjutkan lima tahun lagi, dengan penambahbaikan perjanjian sedia ada,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan itu termasuk mengemaskini terma perjanjian, memasukkan terma-terma mengenai KPI dan memasukkan peruntukan bagi membolehkan kerajaan melantik syarikat lain untuk mengimport beras sekiranya didapati perlu.

Beliau menegaskan bahawa hak mengimport beras kepada Syarikat Beras Nasional (Bernas) tidak bersifat mutlak dan kerajaan pada bila-bila masa boleh menarik balik hak tersebut. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.

91