Ivanovic teruskan kebangkitannya

0

Harapan pertemuan adik-beradik Williams di separuh akhir tidak menjadi

ROM, Itali: Bekas pemain nombor satu dunia, Ana Ivanovic meneruskan kebangkitannya di kejohanan gelanggang tanah liat Terbuka Rom di Foro Italico di sini Khamis lepas apabila menewaskan buat kali ketiga seorang lagi pemain pilihan.

KENTAL: Bintang tenis Serbia, Ana Ivanovic mengembalikan pukulan kepada pencabarnya dari Rusia, Nadia Petrova pada Terbuka Rom di Rom semalam. Ivanovic menang 6-2 dan 7-5. — Gambar AFP

KENTAL: Bintang tenis Serbia, Ana Ivanovic mengembalikan pukulan kepada pencabarnya dari Rusia, Nadia Petrova pada Terbuka Rom di Rom semalam. Ivanovic menang 6-2 dan 7-5. — Gambar AFP

Jelitawan Serbia itu menewaskan pemain pilihan ke-13, Nadia Petrova 6-2 dan 7-5 untuk mara ke peringkat separuh akhir ekoran kemenangan ke atas pemain pilihan kesembilan, Viktoria Azarenka dan pemain pilihan kelima, Elena Dementieva.

Dua tahun lalu, Ivanovic naik ke tangga teratas ranking dunia dan turut memenangi Terbuka Perancis tetapi bintangnya sudah jauh jatuh sejak itu dan beliau kini menduduki tempat ke-58.

“Semua ini sudahpun saya lupakan sekarang dan saya rasa setiap pemain mengharungi masa yang sukar dan saya rasa ia bukannya tentang berapa kali kita jatuh tetapi berapa kali kita bangkit,” katanya.

“Kejohanan ini dan kemenangan yang saya kecapi pada minggu ini amat bermakna bagi saya kerana saya telah berusaha begitu gigih, bukan hanya sejak beberapa bulan lalu bahkan sejak setahun lalu dan ia sama sekali tidak menjadi.

“Sekarang saya begitu gembira kerana sudah kembali ke landasan.”

Petrova menerima akibat di atas kesalahannya sendiri — beliau melakukan 32 kesalahan sehingga akhir perlawanan — dan menyerahkan kemenangan dengan pukulan ‘forehand’ ke garisan trem.

Pemain nombor satu dunia, Serena Williams tidak ada banyak masalah menyingkirkan Maria Kirilenko dari Rusia 6-1 dan 6-4.

Namun beliau dinafikan perlawanan separuh akhir menentang kakaknya selepas Venus yang bermain hambar tewas, 0-6 dan 1-6 kepada pemain pilihan ketujuh, Jelena Jankovic.

Serena, yang tidak bermain sejak memenangi Terbuka Australia pada Januari lalu, kelihatan tidak akan bermain lama selepas memenangi 10 daripada 11 permainan pertama menentang lawannya di ranking ke-37, yang pernah mengheretnya ke tiga set sebagai seorang remaja di Roland Garros enam tahun lalu.

Namun Kirilenko bangkit untuk memenangi tiga permainan berturut-turut manakala pukulan ‘forehand’ Serena tidak menjadi.   “Ia ada sedikit kaitan dengan ketahanan bermain. Saya memang merasakan bahawa ia seharusnya 5-0 dan saya melakukan servis hingga ke akhir,” kata Serena.

“Namun saya menentang seorang lawan yang tidak pernah berputus asa, beliau terkenal kerana itu.

“Semakin kerap saya bermain, saya pasti akan tahu betapa sengatnya permainan-permainan ini.”

Beliau menenangkan diri untuk bertahan pada kedudukan 4-3 dan kemudian melakukan servis untuk memenangi perlawanan walaupun semakin kerap melakukan kesilapan di akhir perlawanan.

Namun selepas berjaya mematahkan lapan pukulan ‘ace’ dan melakukan 19 pukulan kemenangan, 18 kesilapannya tidak menghalangnya mara ke peringkat separuh akhir.

Ketika ditanya sama ada ia adalah persembahan seksi yang beliau janjikan selepas kemenangannya di pusingan ketiga, beliau menjawab: “Saya fikir begitulah, ia pantas, panas dan berpeluh.

“Kadang-kala saya hanya kata ‘Serena, pukul ‘ace’’ dan ia berlaku, dan itu adalah hebat.

“Namun saya tidak akan melakukannya dengan setiap mata, saya tidak mahu meletihkan lengan saya jadi saya melakukan pelbagai pukulan dan cuba menjadikan perlawanan menarik bagi semua orang,” katanya bergurau.

Tahun lepas, beliau disingkirkan di sini dalam perlawanan pertamanya, satu daripada tiga kekalahan dalam perlawanan pembukaan sebelum Terbuka Perancis, di mana beliau mara ke peringkat suku akhir.

Venus hanya bayang-bayang dirinya yang sebenar semasa beliau tunduk dalam perlawanan yang tidak sampai sejam.

Set pertama berlalu dalam masa 29 minit selepas pemain nombor empat dunia itu melakukan 11 kesilapan berbanding hanya satu kesilapan oleh lawannya dari Serbia.

Apabila beliau melakukan servis pada permulaan set kedua, ia seakan-akan beliau sudah menemui sentuhannya tetapi ia ternyata hanya selingan sahaja kerana Jankovic pantas bangkit semula.

Jankovic juga berkata beliau perlu meneruskan kecemerlanganya itu.

“Apabila anda bermain menentang adik-beradik Williams, anda tidak boleh relaks sama sekali, anda hanya perlu bermain dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Ivanovic akan bermain menentang seorang lain pemain bukan pilihan dalam diri Maria Martinez-Sanchez dari Sepanyol yang menewaskan Lucie Safarova dari Republik Czech 7-6 (8/6) dan 6-4.

Pemain berusia 27 tahun itu, dengan ranking nombor 26 di dunia, sudah pun mengejutkan pemain nombor dua dunia, Caroline Wozniacki dari Denmark dalam pusingan sebelum itu. – AFP