Pembuatan belacan beri pendapatan lumayan kepada penduduk Tambiratdigunakan

0

ASAJAYA: SUKU kedua dan ketiga setiap tahun merupakan masa yang menjanjikan pendapatan lumayan kepada penduduk Kampung Tambirat.

Pada masa tersebut giat dijalankan penghasilan sejenis pelengkap masakan iaitu belacan oleh para nelayan dan penduduk kampung.

Menurut seorang nelayan Suut Puji, 51, belacan dihasilkan daripada sejenis udang kecil atau lebih dikenali sebagai bubuk oleh masyarakat setempat.

“Penangkapan bubuk biasa dilakukan bermula bulan Febuari sehingga November dan masa yang paling banyak mendatangkan hasil adalah pada bulan April hingga September.

“Pada enam bulan tersebut penghasilan belacan akan meningkat dan segala permintaan daripada pengguna terutama mereka yang berada di luar kampung ini dapat dipenuhi,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Bapa kepada enam orang anak ini telah menjalankan aktiviti penghasilan belacan sebagai sumber pendapatan utama keluarga mereka.

Menurutnya, pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti ini amat lumayan walaupun proses untuk menjadikan belacan yang siap diguna agak rumit dan memenatkan.

“Pendapatan yang saya perolehi boleh mencecah sehingga RM4,000 sebulan dengan penjualan belacan yang sudah siap.

“Belacan yang siap boleh dijual dengan harga RM13 hingga RM16 sekilogram dan kebiasaannya saya berjaya menghasilkan sebanyak 150 hingga 350 kilogram sebulan bergantung kepada tangkapan bubuk,” tambahnya.

Rosli Bujang, 67, dan isterinya Ranayah, 61, juga merupakan salah satu pasangan dari kampung tersebut yang menjalankan aktiviti penghasilan belacan.

Menurut Rosli, aktiviti ini merupakan aktiviti sampingan bagi menambah hasil pendapatan mereka.

“Saya menjalankan penghasilan belacan bersama isteri saya hanya secara sampingan sahaja.

“Bagaimanapun penghasilan produk makanan tempatan ini memberikan pendapatan yang agak lumayan kepada kami,” katanya.

Rosli berkata pendapatan yang diperolehi oleh mereka daripada penghasilan belacan boleh mencecah antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Menurutnya sumber yang digunakan untuk penghasilan produk ini diperolehi daripada nelayan-nelayan di kampung tersebut.

Tambahnya lagi penghasilan belacan ini bergantung kepada hasil tangkapan bubuk oleh nelayan-nelayan kampung tersebut.

Bagaimanapun menurutnya tempahan untuk bekalan belacan sentiasa ada daripada pengguna terutama mereka yang dari bandar dan kawasan yang sukar untuk mendapatkan bekalan belacan.

“Adakalanya saya tidak dapat memenuhi semua permintaan terutama pada bulan Januari dan Disember kerana hasil bubuk hampir tiada.

“Kebanyakan tempahan yang saya terima adalah daripada saudara-mara di bandar Kuching, Landeh dan Endap,” tambahnya.

Begitu juga dengan seorang lagi pengusaha belacan sambilan, Janah Suhai, 53.

Menurutnya penghasilan belacan merupakan sumber pendapatan sampingan yang agak lumayan untuk keluarganya.

Janah berkata purata pendapatan bersih yang diperolehinya sebulan mencecah RM600.

“Pendapatan yang saya perolehi mungkin nampak sedikit kerana ia diusahakan bergantung kepada tempahan orang ramai.

“Jika mendapat permintaan yang banyak, saya akan usahakan untuk memenuhi permintaan tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Janah menyataan bahawa aktiviti tersebut memberi perubahan kepada hidup penduduk Kampung Tambirat dalam meningkatkan pendapatan ekonomi keluarga mereka.

Bagi mereka yang ingin membuat tempahan belacan boleh menghubungi Rosli Bujang (082-436216, 0198289208) atau Suut Puji (0135797057).