Karpal bebas tuduhan menghasut terhadap Sultan Perak

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh semalam dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan menghasut terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 6 Februari tahun lepas.

BEBAS: Peguam Karpal Singh (berkerusi roda) selepas dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam daripada tuduhan menghasut terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 6 Feb tahun lepas. — Gambar Bernama

BEBAS: Peguam Karpal Singh (berkerusi roda) selepas dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam daripada tuduhan menghasut terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 6 Feb tahun lepas. — Gambar Bernama

Hakim Azman Abdullah berkata pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie untuk memanggil tertuduh bagi membela diri.

Katanya pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kenyataan Karpal Singh telah menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap Sultan Perak.

Azman berkata apa yang pihak pendakwaan perlu buktikan dalam kes itu ialah kenyataan tersebut mempunyai ‘kecenderungan menghasut’ dalam mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan seperti dalam peruntukan Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata pendakwaan hanya membuktikan kejadian selepas solat Jumaat di Masjid Ubuddiah adalah satu tunjuk perasaan sedangkan orang ramai hanya mengetahui tentang kenyataan Karpal melalui berita yang disiarkan pada 6 petang dan 9 malam pada hari tersebut.

Lagipun, katanya, saksi-saksi pendakwaan terutamanya Pengarah Jabatan Penguat Kuasa Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Mazlan Othman hanya memberikan keterangan secara lisan dan tidak ada satu dokumen pun dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk menyokong kenyataan Karpal Singh menyebabkan timbulnya komen-komen di laman blog tentang tindakan Sultan.

Azman juga berkata tidak ada satu dokumen dikemukakan untuk menyokong keterangan Mazlan bagi mengaitkan kenyataan Karpal Singh dengan apa yang terkandung dalam laman web Kerajaan Negeri Perak.

Hakim juga berpendapat keterangan pegawai penyiasat, ASP Suhaimi Mohamad, sendiri bahawa sebanyak 103 laporan polis dibuat ekoran kenyataan Karpal adalah lebih kepada untuk menunjukkan kemarahan dan kebencian pengadu terhadap tertuduh dan bukan terhadap Sultan Perak.

Pada 17 Mac tahun lepas, Karpal Singh, yang juga pengerusi DAP, minta dibicarakan terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan pada sidang akhbar mengenai Sultan Perak di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, Jalan Pudu Lama, di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Azman dalam penghakimannya juga berkata hujah pihak pendakwaan bahawa Karpal Singh tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian yang meliputi isu undang-undang yang sukar difahami oleh pemberitapemberita yang membuat liputan tidak boleh diterimasebagai asas untuk mempersalahkan tertuduh.

“Hujahan pendakwaan ini seolah-oleh memberi gambaran bahawa jika difahami sebenarnya maksud kenyataan akhbar tertuduh, ia tidak akan terjumlah kepada suatu yang menghasut atau buruk yang hendak disampaikan,” kata hakim.

Azman juga menjelaskan bahawa tertuduh telah memberikan pendapatnya dengan merujuk kepada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Perak dan nas undang-undang yang mana kesemua itu telah dibekalkan kepada pemberita yang hadir

Malah kata hakim, video kenyataan akhbar dan transkrip yang dikemukakan tidak terdapat kenyataan menghasut oleh Karpal tetapi hakim itu berkata Karpal hanya menyebut : “Saya ingin menjelaskan, bahawa ini bukan soal peribadi. Ini adalah soal perlembagaan dan saya rasa ia harus dihormati oleh semua pihak termasuk Raja.”

Sebaik sahaja Azman membacakan penghakimannya,ahli keluarga Karpal serta pemimpin DAP menepuk tangan dan mengucapkan tahniah kepada Karpal yang hanya senyum di kerusi rodanya.

Karpal Singh memberitahu pemberita beliau gembira dengan keputusan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Noreen Badaruddin berkata beliau akan merujuk keputusan mahkamah semalam kepada Pejabat Peguam Negara, sama ada untuk merayu atau tidak. — Bernama

What do you think of this story?
  • Angry (0%)
  • Sad (0%)
  • Nothing (0%)
  • Interesting (0%)
  • Great (0%)
Print Friendly

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of