Pemilik kelab malam dan teman wanita mati ditembak

0

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bersama teman wanitanya mati ditembak dari jarak dekat ketika mereka pulang ke kondominiumnya di Taman Maluri, Cheras, di sini awal pagi semalam. 

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairy Ahrasa berkata, kedua-dua mangsa ditemui berlumuran darah termasuk dengan kesan tembakan di kepala dalam kereta Honda CRV mereka di dalam kawasan parkir.

Beliau berkata mangsa lelaki dipercayai pemilik sebuah kelab malam berusia 52 tahun serta teman wanitanya, 32 tahun, ditembak dengan pistol jenis automatik dan sebanyak 13 kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 pagi.

Pegawal keselamatan juga ternampak dua lelaki melarikan diri dengan memanjat pagar belakang kondominium selepas mendengar beberapa das tembakan, katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

“Semasa kejadian, keduadua mangsa baru tiba dan kereta mereka baru sahaja memasuki parkir kondominium terbabit sebelum ditembak menggunakan pistol jenis automatik,” katanya.

Khairy berkata berdasarkan cara tembakan di kepala, polis percaya tembakanitu dilepaskan dari jarak dekat.

“Melalui CCTV (kamera litar tertutup) yang ada di pekarangan lokasi kejadian, dua suspek dilihat melarikan diri dari kawasan parkir,” tambahnya mayat keduadua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

Polis tidak menolak motif kejadian berkaitan dengan dendam walaupun siasatan awal mendapati dompet dan dua utas rantai emas milik kedua-dua mangsa itu hilang yang percayai dilarikan suspek, katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Khairy meminta orang awam yang mempunyai maklumat menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. — Bernama