Impian PERSB pendekkan tempoh ahli politik hanya sandiwara

0

KOTA SAMARAHAN: Impian Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB) untuk memendekkan tempoh hanya dua penggal (10 tahun) bagi menteri-menteri dan ahli-ahli politik menjawat jawatan dalam kerajaan jika mereka berjaya membentuk ‘kerajaan baru’ dalam pilihan raya negeri akan datang hanya ‘sandiwara’ mereka.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sememangnya parti-parti permbangkang pandai merayu-rayu dan memancing hati rakyat untuk memilih mereka pada setiap pilihan raya tetapi mereka (pembangkang) mempunyai agenda tersendiri jika diberi ‘kuasa’ oleh rakyat.

“Kita boleh melihat beberapa negeri di Semenanjung Malaysia yang telah jatuh ke tangan pihak pembangkang, mereka tidak boleh berbuat apaapa lebih-lebih lagi memberi nikmat pembangunan kepada rakyat,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian ‘Seminar 1Malaysia Bersama Pemimpin’ di sini semalam.

Perasmian seminar anjuran Jabatan Hal Ehwal Sarawak (Jasa) itu disempurnakan oleh Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Abdul Karim ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam yang memetik bahawa PERSB berikrar hanya memberi tempoh dua penggal sahaja jawatan-jawatan menteri dalam kabinet kerajaan berkata: “Mereka boleh sebut apa sahaja ikrar dalam manifesto semasa pilihan raya tetapi mereka belum tahu bagaimana hendak menerajui negeri seperti Sarawak ini”.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata impian parti terbabit ternyata hanya ‘angan-angan’ sahaja malah mereka belum lagi diluluskan pendaftaran dan belum mempunyai rekod nyata dalam politik negeri ini.

“Memang setiap menjelang pilihan raya pelbagai parti muncul dengan membawa pelbagai agenda dan janji-janji mereka kepada rakyat, tetapi rakyat kita tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji mereka lebih-lebih lagi trek rekod mereka belum diketahui,” katanya.

Abdul Karim menarik perhatian sememangnya diakui dalam situasi politik sekarang memang ada kalangan ahli-ahli politik yang tidak mendapat tempat di hati rakyat atau jawatan dalam parti-parti kerajaan – Barisan Nasional (BN) berasa tidak puas hati.

Justeru, mereka menubuh parti baru dan berhasrat mahu menjadi parti penerajui yang mereka anggap mampu memimpin rakyat ke arah kesejahteraan namun sebaliknya rekod mereka belum lagi terbukti.

“Dalam negara demokrasi memang kita tidak menghalang rakyat memilih mana-mana parti yang mereka sukai, tetapi kita harus sedar bahawa kemajuan dan pembangunan pesat yang dikecapi oleh seluruh rakyat negeri ini adalah bukti dan pencapaian terbaik yang telah dilakukan oleh parti-parti komponen BN,” katanya.

Justeru, kita tidak harus berasa gentar menghadapi cabaran-cabaran parti-parti politik pihak pembangkang yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan ketika ini dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita (BN) mempunyai agenda pembangunan yang ternyata telah berjaya meletakkan rakyat di negeri ini dalam situasi yang amat membanggakan, justeru saya yakin rakyat tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tipu helah pihak pembangkang menjelang pilihan raya kelak,” katanya.