Rang Undang-undang Profesion Sains Kesihatan Bersekutu siap tahun depan

0

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Profesion Sains Kesihatan Bersekutu yang melibatkan 23 profesion dalam bidang itu akan dibentang di Parlimen awal tahun depan.

BERAMAH MESRA: Liow beramah mesra dengan peserta pada sesi bergambar selepas merasmikan Persidangan Saintifik Profesional Sains Kesihatan Bersekutu kelapan di Institut Pengurusan Kesihatan di Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Mohd Nasir Mohd Asraf (dua dari kiri). — Gambar Bernama

BERAMAH MESRA: Liow beramah mesra dengan peserta pada sesi bergambar selepas merasmikan Persidangan Saintifik Profesional Sains Kesihatan Bersekutu kelapan di Institut Pengurusan Kesihatan di Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Mohd Nasir Mohd Asraf (dua dari kiri). — Gambar Bernama

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rang undang-undang itu kini dalam peringkat akhir pembentukan dan akan dihantar untuk kelulusan Peguam Negara dan Kabinet sebelum dibentang di Parlimen.

“Kita mahu merangka satu akta yang akan menjaga kualiti perkhidmatan, memantau perkhidmatan rawatan dan keselamatan pesakit yang dirawat oleh kumpulan profesion ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Saintifik Profesional Sains Kesihatan Bersekutu kali kelapan di Institut Pengurusan Kesihatan di sini semalam.

Liow berkata akta berkenaan akan melindungi rakyat daripada sesiapa sahaja atau individu yang tidak bertauliah yang cuba mengaut keuntungan dengan menyamar sebagai pengamal dalam bidang Sains Kesihatan.

Beliau berkata akta itu juga bertujuan untuk mendaftar dan mengawal amalan setiap profesion berkenaan yang antaranya ialah pegawai sains kaji kuman, pegawai sains kimia hayat, pegawai sains forensik, pegawai pemulihan perubatan (pertuturan), pegawai psikologi (kaunseling), juru X-Ray (diagnostik), pegawai dietetik, pegawai kerja sosial perubatan dan pegawai pendidikan kesihatan.

Liow berkata pada masa ini terdapat 32 kategori profesion Sains Kesihatan Bersekutu di Kementerian Kesihatan yang memberi perkhidmatan dalam tiga bidang utama iaitu klinikal, kesihatan awam dan makmal.

“Mereka ini memberi perkhidmatan sokongan yang amat penting kepada para doktor dalam menyampaikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang berkualiti, sempurna dan berkesan kepada rakyat,” katanya.

Liow berkata sehingga 31 Mac tahun ini, sebanyak 25,857 (83.2 peratus) daripada 31,084 kekosongan jawatan bagi Kumpulan Profesion Sains Kesihatan Bersekutu di kementerian itu telah diisi.

Beliau berkata Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu ditubuhkan sejak 1 Nov 2008 bagi menjamin pembangunan dan perkembangan yang teratur untuk kumpulan profesion berkenaan selain menyediakan piawaian serta peraturan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan berkualiti, cekap dan berkesan.

Persidangan anjuran Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu dan Jawatankuasa Induk Persidangan, Kementerian Kesihatan bertemakan ‘Berkongsi Kejayaan Melalui Kesepakatan’ itu berlangsung selama dua hari bermula semalam. — Bernama