Rumah Suring sambut Ngiling Bidai walau serba kekurangan

0

SIBU: Meskipun Rumah Suring Sana di Sungai Tulai di Bintangor di sini telah musnah dalam kebaka­ran, namun sambutan ‘Ngiling Bidai’ tetap diadakan pada Jumaat lepas.

TANDA INGATAN: Tuai Rumah Suring (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Adrian selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan dan Ngiling Bidai di Sungai Tulai di Bintangor, Jumaat lepas.

TANDA INGATAN: Tuai Rumah Suring (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Adrian selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan dan Ngiling Bidai di Sungai Tulai di Bintangor, Jumaat lepas.

Majlis itu diadakan di tapak rumah sementara ataupun dikenali sebagai ‘dampa’ dan dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) Adrian Luang.

Menurut Tuai Rumah Suring, 70, rumah mereka hangus pada pertengahan 2008 dan kini pen­duduknya masih tinggal di ‘dampa’ serta masih menghadapi kekuran­gan dari segi kemudahan asas.

“Masalah ini tidak menghalang­kan kami untuk menyambut Hari Gawai serta majlis ini walaupun tidak mempunyai rumah panjang lagi,” katanya semasa berucap pada Majlis Penghargaan dan ‘Ngiling Bidai’ anjuran Jawatankuasa Ke­majuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Suring Sana.

Katanya, sejak ditimpa bencana tersebut kerajaan sering menghu­lurkan bantuan kewangan bagi membeli papan untuk mendirikan semula rumah panjang.

Bagaimanapun, ujarnya, tinggal di ‘dampa’ itu tidak boleh terus berpanjangan kerana ia turut meny­ulitkan lagi keadaan penduduk ekoran ruang yang kecil.

Sehubungan itu, penduduk ber­harap kerajaan dapat membantu mendirikan rumah panjang dengan segera.

Sementara itu, Adrian dalam ucapan perasmian majlis tersebut memberitahu bahawa kerajaan negeri sudah mengagihkan perun­tukan bantuan bagi membersihkan tapak rumah baru untuk rumah panjang berkenaan.

“Bantuan itu berjumlah RM20,000 bagi membersihkan ta­pak baru Rumah Suring sementara lokasi tapak baru itu masih dalam pertimbangan bagi menentukan tempat yang sesuai,” katanya.

Menurut Adrian, proses mem­bersihkan tapak baru itu akan dilaksanakan setelah tapak baru dikenal pasti sementara kedua-dua perkara itu bergantung kepada penduduk Rumah Suring bagi menentukan lokasi sesuai untuk mendirikan rumah panjang baru.

“Selain itu, saya menyeru kepada penduduk di rumah ini agar terus bersatu sesama sendiri walaupun dalam keadaan sebe­gini,” tambahnya.

Dalam pada itu, pelbagai acara telah dijalankan bagi memeri­ahkan majlis tersebut, antaranya pertandingan nyanyian karaoke, tarian poco-poco, acara tarik tali bagi kanak-kanak, menyumpit dan pertandingan ngajat lelaki dan wanita.

Antara tetamu yang hadir pada majlis itu ialah penduduk dari Rumah Lidam dan Rumah Ma­laya di sekitar Sungai Tulai serta penduduk di perumahan Taman Bintang, Bintangor.