Empat lagi suspek kes pemerdagangan bayi direman

0

KUCHING: Seorang lelaki berusia 53 tahun dipercayai orang tengah dalam sindiket pemerdagangan bayi ditahan reman selama enam hari bersama tiga lagi suspek baru kes tersebut di Mahkamah Majistret semalam.

REMAN: Tiga suspek kes pemerdagangan bayi dibawa ke lokap sementara di bangunan mahkamah di Kuching bagi membantu siasatan kes tersebut, semalam.

REMAN: Tiga suspek kes pemerdagangan bayi dibawa ke lokap sementara di bangunan mahkamah di Kuching bagi membantu siasatan kes tersebut, semalam.

Tiga suspek tersebut merupakan sepasang suami isteri berusia 40 tahun dan seorang pemandu berusia 48 tahun kepada suspek bergelar Datuk yang ditahan reman Rabu lepas, turut direman bagi membantu siasatan dalam kes pemerdagangan bayi itu.

Suspek ditahan reman berdasarkan permohonan pihak pendakwa yang dibenarkan oleh Majistret Nelson E.Angang di sini, semalam.

Kini jumlah kesemua suspek yang ditahan reman bagi siasatan kes itu ialah sebanyak 12 orang di mana dua daripadanya bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datin’.

Empat lagi suspek baru bagi kes pemerdagangan bayi berjaya ditangkap pada Khamis lepas selepas menerima maklumat daripada orang awam di antara jam 9 malam dan 12 tengah malam.

Mereka ditangkap di beberapa lokasi berlainan iaitu di Kampung Patingan di mana pasangan suami isteri ditangkap, di Kenyalang Park suspek yang dipercayai sebagai orang tengah dan di Kampung Kudei, pemandu ‘Datuk’ tersebut.

Kesemua suspek kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007.

Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan untuk kes pemerdagangan bayi yang kini di bawah jagaan polis.

Keempat-empat suspek tidak diwakili peguam bela manakala Inspektor Tina Manchu bertindak sebagai pemohon kes tersebut.