Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Guna Internet untuk tingkatkan ilmu, kemahiran
Guna Internet untuk tingkatkan ilmu, kemahiran
by Abang Ismail. Posted on July 17, 2010, Saturday
BINTULU: Golongan belia diingatkan agar tidak menyalahgunakan kemudahan Internet untuk menyebarkan maklumat yang salah, sebaliknya mereka perlu menggunakannya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri.

KEMUDAHAN SIBER: Talib mencuba kemudahan komputer yang disediakan di Pusat Siber Rakan Muda yang disediakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Bintulu sambil disaksikan oleh (dari kanan) Selihin, Ismail, Paul dan yang lain.
Talib puji usaha Jabatan Belia dan Sukan menyediakan kemudahan IT untuk pertingkat kemahiran belia
Menteri Muda Pelancongan dan Warisan, Datuk Talib Zulpilip berkata, golongan belia perlu menggunakan kemudahan berkaitan untuk memajukan diri dan bukan untuk tujuan negatif.
“Usaha Jabatan Belia dan Sukan menyediakan kemudahan bagi menggalakkan golongan belia mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT) amat tepat, justeru saya meminta golongan belia menggunakan kemudahan itu sama ada untuk tujuan mencari maklumat, mencari peluang pendidikan di universiti ataupun mencari kerja,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Kegiatan Rakan Muda (Pusat Siber) Bahagian Bintulu di Parkcity Commerce Square di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan amat berharap golongan belia tidak mempersia-siakan kemudahan tersebut serta tidak menjadi golongan yang ketinggalan dalam dunia yang semakin mencabar kini.
Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak berkata, dunia kini telah berubah dan kemudahan internet bukan hanya untuk menghantar dan menerima e-mel, bahkan lebih daripada itu, sama ada untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan mencari pekerjaan dengan cepat.
“Dalam dunia sekarang, belia juga perlu mempunyai sikap prihatin dan tidak mencontohi tabiat yang buruk sehingga boleh merosakkan masa depan mereka,” katanya.
Katanya, negara memerlukan belia yang prihatin,mahir dan dinamik dengan menyertai pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat, antaranya aktiviti gotong-royong membersih kawasan.
Mengenai pengwujudan dan sambutan belia terhadap Pusat Siber Rakan Muda di Bintulu, Talib berkata, golongan belia dilihat begitu berkobar-kobar untuk menggunakan kemudahan yang disediakan.
“Saya melihat sambutan amat baik dan langkah Jabatan Belia dan Sukan menyediakan pusat ini akan memberi pendedahan yang lebih luas kepada belia-belia di sini dengan kemudahan internet berbanding bandar-bandar lain memandangkan kebanyakan syarikat-syarikat besar dan moden menggunakan kemudahan IT dalam melaksanakan kerja mereka di sini,” katanya.
Sementara itu, pengarah Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Mohd Selihin Kachon berkata, sebanyak 31 Pusat Siber bakal diwujudkan di 31 kawasan Parlimen di negeri ini, khusus untuk belia.
“Bagi Bintulu kita menempatkan kemudahan 10 unit komputer untuk menggalak belia menggunakan kemudahan itu sepenuhnya, sama ada untuk mencari kerja, berhubung melalui facebook, untuk mendaftar sebagai pengundi muda dan sebagainya,” katanya.
Katanya, Pusat Siber yang diwujudkan di Bintulu adalah yang terbaik, bukan sahaja di Sarawak bahkan di Malaysia.
Residen Bahagian Bintulu, Ismail Mohd Hanis, Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni, Pengerusi Saberkas Daerah Bintulu, Dato Paul Teo Choo Tee dan Ketua Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu, Nur Nafhatun Ahmad Masut turut hadir pada majlis itu.
<< Previous Entry - Next Entry >>



