Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Guru perlu punyai idea kreatif untuk menarik minat pelajar
Guru perlu punyai idea kreatif untuk menarik minat pelajar
Posted on July 17, 2010, Saturday
SELANGAU: Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun menyeru para guru mengubah cara pengajaran di sekolah dengan idea-idea kreatif yang mampu menarik minat pelajar.

SYABAS: Entulu menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik kepada Pengetua SMK St.Elizabeth, Cathrine Robert Mowe.
Beliau berkata, menggunakan cara yang kreatif dalam sesi pembelajaran dapat mencungkil bakat pelajar dalam usaha melahirkan generasi muda berpendidikan.
“Sebelum memilih profesion perguruan, anda berhak memilih untuk memikirkan saat-saat persaraan ketika hadir pada hari pertama di sekolah atau dengan semangat memartabatkan pendidikan, anda pasti seronok menggalas tanggungjawab sebagai guru.
“Begitu juga dalam sesi pembelajaran di dalam kelas, anda boleh membuat pilihan sama ada mengajar dalam bentuk formal atau membuat perubahan dengan teknik mengajar secara kreatif. Ini secara tidak langsung dapat menarik minat untuk mereka ke sekolah,” jelasnya.
Entulu berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Bahagian Sibu 2010 anjuran bersama Pejabat Pelajaran Daerah Selangau dan Majlis Guru Besar Daerah Selangau di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tong Ah semalam.
Tambah beliau, pilihan di tangan guru dalam membuat keputusan menjalankan tanggungjawab mendidik anak-anak ke landasan yang betul.
“Disebabkan kebebasan membuat pilihan di dalam jangkaan, hari-hari yang mendatang berlalu tanpa kita sedari,” kata Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau.
Dalam pada itu, Entulu turut menggesa peranan pihak ibu bapa sebagai pengaruh anak-anak di rumah agar terlibat sama dalam tanggungjawab mendidik mereka menjadi insan berguna.
“Guru dan ibu bapa digalakkan bergaul menerusi penganjuran pelbagai aktiviti. Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bukan sahaja mengadakan mesyuarat semata-mata.
“Sebaliknya guru harus turun padang berjumpa dengan ibu bapa bukan sebagai profesional, tetapi sebagai kawan kepada mereka. Kita harus saling melengkapi sesama pihak dalam melahirkan generasi berpendidikan,” tegasnya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Pelajaran Gabungan Sibu, Wong Chong Kung, Pegawai Pelajaran Daerah Selangau, Augustine Jayan Jelani dan Pegawai Daerah Selangau, Wan Akil Wan Ahmad Bujang.
<< Previous Entry - Next Entry >>



