Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Semua jalan raya di Sarawak dinaik taraf menjelang 2011
Semua jalan raya di Sarawak dinaik taraf menjelang 2011
Posted on July 17, 2010, Saturday
SERIAN: Keseluruhan jalan raya di negeri ini khususnya di luar bandar dijangka dinaik taraf menjelang Mac 2011, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata terdapat sebanyak 163 projek akan dilaksanakan dengan kos RM2 bilion.
“Setakat ini, sebanyak 89 projek telah dilaksanakan, dengan 133 daripada projek tersebut adalah di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Semua projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang dan ini bermakna ia akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang Mac 2011,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Menaik Taraf Jalan Link (Padawan-Serian-Tebedu), Daerah Serian, Bahagian Samarahan di Kampung Kuhum Mawang, dekat sini semalam.
Selain itu, Manyin juga memberitahu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi, Sarawak telah diperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk infrastruktur jalan raya.
Malah katanya, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) turut diperuntukkan RM4 bilion untuk infrastruktur jalan raya.
Justeru, sebagai menteri bertanggungjawab, beliau memberitahu bahawa beliau telah membuat pemantauan di seluruh negeri bagi memastikan projek ini dilaksanakan berdasarkan jadual yang ditetapkan.
Menurut beliau, peruntukan-peruntukan tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan infrastruktur jalan raya di negeri ini.
“Setakat ini, kita sememangnya masih ketinggalan dari segi perhubungan jalan raya berbanding di Semenanjung.
“Kerajaan persekutuan memahami keperluan kita, dan telah memberikan peruntukan yang banyak untuk manfaat rakyat agar turut menikmati pembangunan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Manyin berkata Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber juga memastikan semua kampung dan rumah panjang di kawasan pedalaman menikmati kemudahan elektrik dan bekalan air menjelang 2014.
<< Previous Entry - Next Entry >>



