Fatimah Aman 62 tahun berpisah dengan keluarga asal

0

KUCHING: Kini usianya sudahpun mencecah 62 tahun, namun Fatimah Aman belum dapat mengenal pasti siapakah sebenar ahli-ahli keluarga asalnya yang berketurunan Cina.

ASAL: Fatimah (kanan) bersama-sama suaminya, Pawi menunjukkan dokumen pengenalan asalnya dari keturunan Cina di Kuching, semalam.

ASAL: Fatimah (kanan) bersama-sama suaminya, Pawi menunjukkan dokumen pengenalan asalnya dari keturunan Cina di Kuching, semalam.

Fatimah yang berasal dari keluarga Cina memecah tangis pertamanya pada 26 Oktober 1948 di sini pada zaman Sarawak dalam pemerintahan British.

Beliau yang nama asalnya, Lee Kong Liew dilahirkan oleh pasangan keluarga penoreh getah iaitu Chong Soon Fook (bapa) dan Lee Kuan Len (ibu).

Berdasarkan surat pendaftaran sijil kelahirannya, Fatimah sememangnya berasal dari keluarga Cina tempatan yang menetap di Batu 5, Jalan Rock Kuching.

“Sampai saya tidak tahu siapa ayah dan ibu saya dari keturunan Cina, sebab saya diambi menjadi anak angkat sebuah keluarga Melayu sejak berusia dua bulan,” kata Fatimah ketika ditemui Utusan Borneo di kediaman anaknya, Taman Labunda, Sourabaya Indah di sini semalam.

Menurut Fatimah, beliau masih menyimpan segala dokumen-dokumen yang berkaitan asal-usulnya termasuk surat penyerahan anak angkat yang ditandatangani oleh bapanya, Abdul Julie.

Fatimah memberitahu bahawa keluarga angkatnya iaitu bapa (Abdul Julie) dan ibunya, Gandai Ahmad adalah berasal dari Kampung Masjid, Jalan Ajibah Abol di sini.

“Saya diserahkan oleh keluarga Cina (bapanya) kepada keluarga angkat (Melayu) ketika saya baru berusia dua bulan 15 hari,” katanya sambil menunjukkan surat penyerahannya sebagai anak angkat yang tertera pada tarikh 10 Januari 1949.

Fatimah berkata sejak beliau diambil menjadi anak angkat keluarga Melayu, beliau tidak pernah dipertemukan dengan ayah dan ibu kandungnya.

“Sehingga sekarang saya tidak tahu siapakah ibu dan bapa kandung saya. Adakah mereka masih hidup atau sudahpun meninggal dunia,” katanya.

Menurut Fatimah, beliau tidak menafikan bahawa ibu dan ayahnya mungkin ada mempunyai adik-beradik lain yang tinggal di negeri ini.

Katanya, jika ada adik beradik atau saudara terdekat dengan ahli-ahli keluarganya beliau sememangnya ingin berjumpa dengan mereka.

“Setelah lebih 60 tahun saya berpisah dengan keluarga asal, sememangnya saya benar-benar rindu untuk bertemu mereka,” katanya yang kini tinggal bersama-sama suaminya, Pawi Abol, 75.

Fatimah mempunyai tujuh orang anak iaitu empat lelaki dan tiga perempuan bagaimanapun tiga daripada anaknya iaitu seorang lelaki dan dua perempuan sudahpun meninggal dunia.

Namun, Fatimah dan suaminya masih dapat bergantung harap dengan anak-anaknya yang lain iaitu Aris Pawi, 47, Nurudin Pawi, 41, Wati Pawi, 39 dan Jeffrey Pawi, 37.

“Kesemua anak-anak saya sudahpun berumah tangga dan mereka sudahpun memiliki rumah masing-masing,” kata nenek kepada sembilan cucu itu.

Fatimah berharap mereka yang mengenali ahli-ahli keluarga Cinanya bolehlah menghubungi anak-anaknya iaitu Aris (010-9779433), Nurudin (016-8166223 atau 014-5954807), Wati (019-4392559) dan Jeffrey (016-8714047).

“Niat saya hendak berjumpa dengan keluarga Cina saya bukannya apa-apa… cuma sekadar ingin mengetahui mereka sahaja,” katanya.