Lebih proaktif banteras penggubahan wang haram

0

Sumber wang yang hendak dideposit mesti direkod, disah

KUCHING: Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh mahu usaha lebih proaktif diambil bagi membanteras kegiatan penggubahan wang haram walaupun kes itu tidak serius di negeri ini.

Justeru, beliau menyarankan setiap sumber kewangan yang hendak didepositkan ke dalam akaun terutama dalam nilai yang tinggi mesti direkod dan disahkan agensi-agensi bertanggungjawab seperti institusi kewangan (bank) dan juruaudit bertauliah.

“Wang yang mahu didepositkan mesti diketahui sumbernya dan direkod, jika ada unsur-unsur mencurigakan siasatan terperinci mesti dilakukan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Bagaimanapun, pada masa sama Wong mengakui kegiatan penggubahan wang haram sukar diperangi kerana ia mungkin boleh membabitkan sindiket antarabangsa yang memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan dengan antarabangsa.

Wong berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama kelmarin berhubung usaha kerajaan memperkenalkan Pelan Strategik Pencegahan Penggubahan Wang/Pencegahan Pembiayaan Keganasan Kebangsaan (AML/CFT), 2010-2012 dalam waktu terdekat ini.

Wong yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam pada masa sama mahu semua pihak memberi kerjasama dalam usaha memerangi kegiatan jenayah terancang tersebut.

Beliau percaya pelaksanaan pelan strategik itu akan diperluaskan ke seluruh negara dengan Sarawak tidak terkecuali.

“Kita percaya apabila pelan strategik ini berkuat kuasa sepenuhnya nanti kegiatan penggubahan wang haram  kalau tidak dapat dibanteras sepenuhnya, setidak-tidaknya dapat dikurangkan,” ujarnya.

Kelmarin, Bernama memetik Timbalan Gabenor Bank Negara Datuk Zamani Abdul Ghani sebagai berkata pendekatan strategik itu diambil bagi menyokong Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) lebih-lebih lagi NKRA pertama dan kedua bermatlamat mengurangkan kadar jenayah serta memerangi rasuah.

Strategi itu menurut Zamani merangkumi satu set strategi untuk mencapai keputusan cemerlang dalam empat bidang utama dengan memfokus kepada pelaksanaan, mengukuhkan kerangka undang- undang, memperbaiki kerangka institusi dan bina upaya.

Beliau menambah pelan itu tidak hanya meliputi langkahlangkah pencegahan bagi institusi kewangan, perniagaan bukan kewangan dan profesion (kewangan) tetapi membabitkan badan perundangan, perisikan kewangan dan penguatkuasaan undang-undang termasuk syarikat domestik serta antarabangsa.

Ketika ini katanya, pelaksanaan pelan itu yang membabitkan bank pusat dan agensi-agensi berkaitan dimulakan secara berperingkat.

Menurut beliau lagi sejumlah 94 kes penggubahan wang haram kini dalam pelbagai peringkat pendakwaan, dengan lebih 3,000 dakwaan melibatkan keuntungan berjumlah RM1.2 bilion.