Kedudukan dalam Setara cabaran IPT

0

Semua IPT Awam dan Swasta sesuai digabungkan ke dalam penilaian Setara

SERDANG: Semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta perlu menjadikan kedudukan dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara) sebagai cabaran bagi mencapai tahap yang lebih baik, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Kita tidak boleh memandang rendah kemampuan univer­siti swasta kerana Setara dinilai menerusi pengajaran dan pem­belajaran yang dilakukan semua universti, dan bukan berdasarkan kedudukan sesebuah universiti itu semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, semua IPT Awam dan Swasta adalah sesuai untuk digabungkan dalam pe­nilaian Setara, katanya selepas merasmikan penubuhan Kursi Brahim bagi Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ma­jlis penyerahan cek pembiayaan bernilai RM1 juta bagi kursi berkenaan.

Mohamed Khaled mengulas kenyataan Naib Canselor Uni­versiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohamed Mustafa Ishak bahawa adalah tidak adil untuk membandingkan taraf kedua-duanya memandangkan IPT Swasta mempunyai dasar serta agenda berbeza berbanding IPT Awam yang tidak berorientasikan keuntungan.

Beliau berkata kedudukan UUM dalam Setara 2009 adalah lebih baik iaitu di tahap em­pat (Sangat Baik) bersama 10 IPT Awam dan 14 IPT Swasta berbanding pada 2007 yang menyaksikannya hanya berada di tahap dua.

“Apa yang perlu dilakukan UUM sekarang ialah mendap­atkan penjelasan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang mengendalikan proses penilaian Setara apa kelemahan yang ada dan baiki segala kelemahan itu,” katanya.

Baru-baru ini, Mohamed Kha­led mengumumkan keputusan Setara 2009 yang menyaksikan tujuh IPT Awam dan 11 IPT Swasta diiktiraf cemerlang atau di tahap lima menerusi penarafan yang dikendalikan MQA.

Penarafan yang melibatkan 58 universiti dan kolej universiti di dalam negara itu dilakukan setiap dua tahun bermula 2007, bagi mengukur kedudukan IPT Awam dan Swasta dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf IPT negara ke peringkat antara­bangsa.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, MQA menjelaskan bahawa Setara adalah berkaitan pengajaran dan pembelajaran di peringkat Ijazah Pertama me­mandangkan ia merupakan fungsi paling asas bagi semua IPT, dan bukan kedudukan sesebuah IPT semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Syed Ahmad Hussein berkata perkara itu telah di­jelaskan oleh Mohamed Khaled, iaitu untuk meletakkan semua universiti dan kolej universiti di atas platform yang sama bagi maksud pelaksanaan penarafan.

Mengenai prestasi universiti yang dilihat seolah-olah merosot dalam penarafan itu, Syed Ahmad berkata Setara tidak mempunyai konsep “ranking” atau kedudu­kan dalam keputusannya.

“Kami tidak lakukan ranking tapi rating (penarafan). Rating tersebut juga dibuat atas kriteria tertentu yang sudah diumumkan terlebih dahulu kepada pihak universiti,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.

Beliau menjelaskan antara kriteria yang dimaksudkan ter­masuk bilangan pelajar, tenaga pengajar dan kelayakan kerja yang ditawarkan.

Syed Ahmad berkata kemung­kinan juga terdapat kekeliruan dari segi susunan nama univer­siti dari senarai keputusan, dan menjelaskan bahawa ia dibuat berdasarkan abjad.

Bagaimanapun, beliau memuji usaha UUM yang kini berada di tahap empat berbanding tahap dua sebelum ini.

“Kami faham bahawa Dr Mo­hamed mengambil berat tentang perkembangan UUM dan di sini kami ingin mengucapkan syabas atas peningkatan tersebut,” ka­tanya. — Bernama