Lihan sifatkan Jabu sebagai pembela utama kaum Penan di Sarawak

0

LONG BERUANG, MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Lihan Jok menyifatkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu sebagai pembela utama kaum Penan di Sarawak.

Beliau menyatakan bahawa isu-isu menyentuh masyarakat Penan seringkali mendapat perhatian Jabu dan mendapat pembelaan daripada beliau dengan serta-merta.

“Beliau (Jabu) adalah orang pertama yang akan tampil jika sesuatu perkara timbul berkenaan dengan masyarakat Penan,” kata Lihan semasa majlis perasmian Pusat Komuniti Penan di Long Beruang, Rabu lepas yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

Pada masa sama, Lihan turut menyeru masyarakat Penan agar mengambil setiap peluang untuk terus membangunkan diri mereka sendiri supaya tidak dilabel mundur oleh anasir-anasir luar yang tidak bertanggungjawab.

“Saya merayu kepada semua rakan daripada kalangan masyarakat Penan di kawasan Baram ini untuk terus berusaha membangunkan diri dan termasuk juga masyarakat Penan yang berada di kawasan Limbang, Lawas, Belaga dan di mana pun mereka berada,” ujarnya.

Katanya, ada pihak yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak bertanggungjawab, masih melabel masyarakat Penan sebagai golongan yang masih jauh ketinggalan daripada pelbagai aspek.

Oleh itu, menurut Lihan, masyarakat tersebut harus kerap mendekatkan diri dengan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menjamin pembangunan serta pada masa sama menjauhkan diri daripada anasir-anasir tidak bertanggungjawab tersebut.

Beliau turut menyatakan bahawa kini sudah terbukti bahawa terdapat individu daripada masyarakat Penan yang telah berjaya dalam kehidupan mereka.

“Ini sebenarnya menunjukkan perubahan yang sudah dapat kita lihat di kalangan masyarakat Penan dan ia adalah sesuatu yang baik,” ujarnya Lihan lagi.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  Datuk Jacob Dungau Sagan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Ose Murang serta Menteri Muda Kesihatan Awam dan Menteri Kemudahan Awam Dr Stephen Rundi Utom.