Golongan terpelajar dan ketua kaum Bengoh kecewa

0

KUCHING: Warga berpendidikan dan ketua masyarakat kaum Bidayuh dari konstituensi Bengoh melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan beberapa pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Bengoh yang bertindak keluar parti.

Tindakan keluar dari parti oleh ahli pemuda SUPP Bengoh termasuk Pengerusi Pemuda Lee Chee Fui dianggap menjejaskan imej Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr Jerip Susil.

Kumpulan terbabit di dalam kenyataan yang diberikan kepada Utusan Borneo di sini semalam berkata, pihaknya tidak berniat untuk campur tangan di dalam urusan parti berkenaan namun bimbang kesannya terhadap konstituensi itu nanti.

“Tindakan keluar dari parti akan menjejaskan imej baik ADUN Bengoh, Dr Jerip dan meletakkan kemampuan kepimpinan beliau di dalam tanda tanya,” kata kumpulan terbabit di dalam keterangan mereka semalam.

Kecaman keras dibuat terhadap tindakan gerakan pemuda parti SUPP yang meninggalkan parti ketika rakyat di dalam konstituensi itu masih memerlukan pembangunan kemajuan oleh Barisan Nasional (BN).

“Kami merasakan populasi luar bandar masih memerlukan BN untuk pembangunan pada masa akan datang dan adalah perlu wakil rakyat sekarang dikekalkan sebagai calon BN untuk pilihan raya akan datang kerana beliau komited dan setia dalam membantu rakyat.

“Kami ingin memberitahu program terbaru yang diadakan di Siburan yang dianjurkan oleh Dr Jerip bersama pegawai daerah Siburan dan ahli pegawai pelbagai jabatan untuk membantu permasalahan rakyat setempat seperti kemudahan kesihatan dan hospital, bekalan air, kesesakan trafik dan isu sosial.

“Ini menunjukkan Dr Jerip mendahulukan kebajikan rakyat setempat tanpa membenarkan perbezaan parti politik untuk melembapkan pembangunan di konstituensi berkenaan,” tambah mereka.

Kumpulan terbabit turut mengingatkan masyarakat Bidayuh seramai 75 peratus di dalam konstituensi berkenaan untuk tidak mengendah dan mempercayai khabar angin negatif berkenaan parti terbabit (SUPP).

“Terdapat pelbagai spekulasi baru-baru ini mengatakan Dr Jerip akan dilucutkan jawatan dan banyak lagi tetapi jangan dengar semua khabar angin itu,” demikian menurut kenyataan tersebut lagi.