Kes denggi di Limbang membimbangkan

0


LIMBANG:Peningkatan jumlah kes denggi di daerah ini kini membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak untuk membendungnya, kata Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL), Sufian Mohat.

SARANG PEMBIAKAN NYAMUK: Longgokan sampah sarap yang menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes.

SARANG PEMBIAKAN NYAMUK: Longgokan sampah sarap yang menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes.

Masyarakat di sini perlu tingkat kerjasama membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes

Sehubungan itu, katanya, setiap anggota masyarakat di sini perlu meningkatkan kerjasama membasmikan tempat pembiakan nyamuk aedes tanpa bergantung sepenuhnya kepada agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

“Penyakit demam denggi meningkat setiap tahun dan ia merupakan cabaran yang kita perlu atasi.

“Kempen kebersihan yang kita jalankan perlu kita amalkan dan jadikan ia sebagai aktiviti berterusan tanpa mengharap kepada usaha pihak kerajaan semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Sufian berkata, pihaknya turut mengambil beberapa tindakan termasuk melaksanakan program pendidikan mengenai bahaya nyamuk aedes dan demam denggi di kalangan masyarakat, selain menyemarakkan lagi program kesedaran bersama Jabatan Kesihatan.

Selain pendidikan, katanya, langkah lain termasuk meningkatkan usaha pemantauan, penguatkuasaan, pencegahan di kalangan masyarakat mengenai kesan dan bahaya nyamuk aedes sebagai punca jangkitan denggi.

“Ini merupakan program turun padang yang dijalankan di kawasan kampung-kampung yang mempunyai jangkitan kes denggi untuk memberi kesedaran kepada mereka agar mengamalkan aspek kebersihan.

“Kita tidak boleh mengharap kepada aktiviti pengasapan sahaja, kerana tanggungjawab untuk mencegah penyakit tersebut adalah melalui kesedaran untuk menjaga kebersihan persekitaran,” ujarnya.

Jelasnya, tahap kesedaran orang awam mengenai penyakit denggi masih rendah dan masih terdapat di kalangan mereka yang mengabaikan aspek kebersihan kawasan masing-masing.

“Walaupun pihak MDL bertanggungjawab melaksana kerja-kerja membersihkan kawasan bandar, namun jika orang ramai masih kurang kesedaran ketika membuang sampah,  usaha untuk mencegah denggi tidak akan berjaya,” katanya.

Beliau mahu orang ramai meningkatkan peranan dan tanggungjawab sosial mereka untuk menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah se-suka hati.

Dalam pada itu, katanya pihaknya turut menerima sekitar 20 hingga 30 aduan berhubung masalah sampah sarap di kawasan bandar Limbang dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, antara kawasan yang dikenal pasti ialah belakang bangunan Bangkita, bangunan tamu dan kawasan sekitar bandar.

“Kita sudah memantau kawasan-kawasan yang kotor dan berbau di sini sehingga menimbulkan aduan masyarakat.

“Pihak kontraktor juga diarah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pengutipan sampah bagi meng-elak kawasan terbabit kotor dan menyumbang kepada penularan penyakit denggi,” ujarnya lagi.