Site Last Updated 10:55 am, Tuesday

Waspada terhadap ‘pengemis’ dari China

by Michael Ubam. Posted on July 28, 2010, Wednesday

Pendatang asing masuk sebagai pelancong guna pelbagai taktik untuk minta sedekah

PENGEMIS OLOK-OLOK: Luo yang sedang duduk di papan luncur beroda sedang meminta sedekah daripada seorang penjaja di Pasar Sentral Sibu semalam.

PENGEMIS OLOK-OLOK: Luo yang sedang duduk di papan luncur beroda sedang meminta sedekah daripada seorang penjaja di Pasar Sentral Sibu semalam.

SIBU: Orang ramai dinasihat agar lebih berhati-hati ketika menghulurkan wang sedekah kepada pengemis ‘olok-olok’ yang menjadikan tempat sesak atau ‘teater awam’ sebagai sasaran untuk mengaut wang simpati.

Pengemis yang dimaksudkan itu terdiri daripada pendatang asing yang dipercayai datang dari China dengan menggunakan pasport antarabangsa untuk memasuki negara ini sebagai pelancong.

Menurut sumber, pengemis olok-olok ini menggunakan pelbagai taktik untuk meraih simpati agar orang ramai menghulurkan sedekah kepada mereka.

Katanya, salah seorang daripada pengemis terbabit kelihatan meminta sedekah daripada orang ramai di Pasar Sentral di sini, semalam.

Pengemis terbabit yang bergerak dengan duduk di atas papan luncur beroda, telah menagih simpati orang ramai dengan menghulurkan baldi kepada orang ramai, terutamanya daripada mereka yang membeli-belah, pekedai dan penjaja di sekitar kawasan Pasar Sentral Sibu.

Menurut satu lagi sumber, beberapa orang pengemis dalam keadaan seperti ‘orang kurang upaya’ pernah muncul di Pasar Sentral untuk meminta sedekah.

Apa yang menghairankan, kata sumber, pengemis seumpamanya akan muncul pada masa yang tertentu sahaja.

“Pernah sekali saya terserempak seorang pengemis yang bergerak menggunakan papan luncur meminta sedekah daripada saya semasa Pesta Kebudayaan Borneo (BCF). Oleh kerana saya rasa simpati melihat keadaannya yang ‘cacat’ sebegitu rupa, secara spontan saya memberi wang kertas RM5 kepadanya.

“Bagaimanapun, ketika sedang berehat sambil minum di sebuah kedai makan berdekatan Wisma Sanyan di sini, saya sekali lagi ternampak pengemis yang sama berjalan di celah-celah lorong belakang membawa papan luncur, manakala sebelah lagi tangannya membawa baldi kecil berwarna hijau.

“Selepas melihat gelagat pengemis olok-olok itu yang sebenarnya mampu berjalan secara normal, saya mula rasa tertipu, namun saya hanya mampu menggelengkan kepala dengan rasa kecewa kerana keikhlasan menghulurkan wang kepada seorang insan yang boleh digelar penipu,” katanya.

Seorang lagi warga Sibu yang juga tidak mahu namanya disiarkan memberitahu bahawa beliau pernah melihat pengemis berkenaan meminta sedekah pada waktu siang dan terserempak dengan pengemis yang sama membeli- belah dalam keadaan normal di pasar malam di sini.

“Saya juga pernah terserempak dengan pengemis yang menggunakan papan luncur beroda buatan sendiri di Miri beberapa bulan yang lalu,” katanya sambil menambah bahawa beliau agak keliru dan kurang pasti sama ada pengemis olok-olok ini datang dari negara China.

Menurut satu lagi sumber, pengemis olok-olok itu muncul kembali di Pasar Sentral Sibu semalam.

Katanya, pengemis terbabit yang bergerak menggunakan papan luncur sambil membawa sebatang tongkat, sepasang pengalas tangan dan baldi hijau yang dihulurkan kepada sesiapa sahaja untuk meminta sedekah.

Keadaan pengemis itu sangat ‘menghayat hati’ menyebabkan para penjaja di situ tergerak hati untuk menyoal dari mana asal-usulnya.

Pada mulanya, katanya, pengemis tersebut berpurapura tidak pandai bercakap dan menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi tetapi setelah dikerumuni orang ramai, akhirnya dia bercakap dan memberitahu dia datang dari negara China dan memiliki pasport antarabangsa untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong yang dihadkan berada di sini selama 30 hari.

Apa yang menghairankan lagi, menurut sumber, ketika disoal bagaimana dia boleh menjadi pengemis dan bagaimana seorang pelancong yang kurang upaya menggunakan papan luncur beroda mampu menaiki pesawat, pengemis tersebut hanya memberi alasan bahawa ada seorang rakan yang mengiringinya datang ke sini dan memberitahu yang kesemua wangnya telah kehabisan dan terpaksa memilih menjadi pengemis olok-olok sebagai jalan mudah untuk mendapatkan belanja.

Ketika diminta menunjukkan pasportnya, pengemis olok-olok itu mengeluarkan paspotnya yang menunjukkan yang dia bernama Luo Lai Xing, berusia 46 tahun dan telah berada di sini sejak 13 Julai lalu dan tarikh luput pasportnya ialah pada tahun 2019.

Menurut sumber, Luo yang dilihat sekali-sekala terjatuh, seperti tidak bermaya untuk mengangkat dirinya dengan tongkat.

Orang awam yang sangsi dengan lakonan Luo itu telah menghubungi polis yang tiba di situ bersama beberapa orang pegawai Majlis Perbandaran Sibu (MPS) lalu membawa pengemis tersebut memasuki pondok polis yang berdekatan.

Bagaimanapun, Luo difahamkan telah dilepaskan semula memandangkan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tetapi hanya meminta sedekah.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.