Borang pengundi baru kehabisan stok

0

KUCHING: Borang pengundi baru kini dikatakan kehabisan stok, termasuk di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri.  

Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Kenyataan itu kemudiannya diakui oleh Pengarah SPR Negeri Datu Takun Sunggah.

Baru memberitahu pemberita bahawa kekurangan borang itu dilaporkan kepadanya oleh dua pertubuhan bukan kerajaan yang turut terlibat dalam pendaftaran pengundi baru.

Beliau berkata kekurangan borang itu berlaku sejak minggu lepas dan menjejaskan usaha untuk mendaftarkan lebih ramai pengundi terutama di kalangan generasi muda dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Tiada lagi borang di pejabat SPR. Dan apabila ditanya, mereka (kakitangan) berkata ‘habis’, bagi saya ini adalah satu kecuaian dan tidak bertanggungjawab di pihak SPR,” katanya.

Baru berkata SPR sepatutnya mencetak lebih banyak borang agar tidak menghalang pengundi baru daripada menunaikan hak mereka.

Beliau bagaimanapun segera menekankan bahawa perkara itu dibawa kepada perhatian media bukan semata-mata disebabkan pilihan raya negeri yang mungkin diadakan Julai tahun depan.

Menurutnya, pendaftaran pengundi baru adalah amalan baik yang harus sentiasa dilakukan dan bukannya hanya menjelang pilihan raya.

Beliau juga berkata masih ramai orang yang berusia 21 tahun di Sarawak belum mendaftar sebagai pengundi walaupun mereka sudah layak menunaikan tanggungjawab mengundi.

Sementara itu, ketika dihubungi, Takun mengakui kekurangan borang itu tetapi segera memberi jaminan bahawa borang baru akan tiba tidak lama lagi.

Katanya, beliau telah dimaklumkan oleh ibu pejabat di Kuala Lumpur bahawa borang baru akan tiba minggu depan.

Beliau berkata borang-borang ini agak mengambil masa untuk tiba di sini kerana ia perlu dicetak dan dihantar dari Kuala Lumpur.

“Pada Khamis atau Jumaat, borang baru akan sampai,” katanya.