Pemimpin perlu berani nyata kebenaran

0

DALAT: Pemimpin yang berintegriti perlu berani menyatakan kebenaran dengan jujur dan ikhlas, tegas Menteri di Pejabat Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat Datin Fatimah Abdullah.

PENGHARGAAN: Fatimah menerima cenderamata daripada Suhaimy. Kelihatan sama, Wan Ahmad Uzir.

PENGHARGAAN: Fatimah menerima cenderamata daripada Suhaimy. Kelihatan sama, Wan Ahmad Uzir.

Pemimpin berintegriti wajib bercakap benar meskipun amat pahit untuk diluahkan

Berucap merasmikan Bengkel Peningkatan Kualiti dan Integriti serta Penerangan Isu Dasar Kerajaan di Dewan Masyarakat, di sini semalam beliau berkata, pemimpin wajib bercakap benar meskipun pahit untuk diluah mahupun diterima pendengar.

“Saya berpendapat pemimpin wajib bercakap benar dan berkeyakinan bahawa rakyat menghargai kejujuran, keikhlasan serta hakikat.

“Sebagai contoh, jika sesuatu di luar kemampuan atau permintaan yang tidak mungkin dapat ditunaikan segera berlaku.

“Situasi sebegini menghendaki kita berani menyatakan kebenaran secara jujur dan ikhlas. Integriti bagi saya berkait rapat dengan amanah, kejujuran, keikhlasan serta komitmen dalam menjalankan tugas yang diberi,” ujarnya.

Menurut beliau, pembudayaan kreativiti dan inovasi pula bukan sekadar memerlukan kerajaan selaku pelaksana, bahkan rakyat harus menjayakan gagasan itu sejak awal iaitu bermula di peringkat keluarga.

“Malaysia kini berada pada tahun terakhir pengimplimentasian Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang bererti sasaran untuk mencapai Wawasan 2020 tinggal sedekad sahaja lagi.

“Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyedari bahawa Wawasan 2020 tidak mungkin dapat dicapai tanpa transformasi ekonomi, sosial serta kerajaan,” jelasnya.

Menyentuh senario politik semasa, Fatimah mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) di sini agar menangani secara serius setiap isu yang cuba dibangkitkan pihak pembangkang demi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap wibawa kerajaan.

Turut hadir, Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak Suhaimy Abdul Talib bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.